KHAI Bahar dalam sesi latihan.
KHAI Bahar dalam sesi latihan.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular, Khai Bahar mengakui persiapan menjelang konsert sulung, Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini bukan sesuatu yang mudah.

Khai, 26, atau nama sebenarnya Muhmmad Khairul Baharuddin berkata, latihan yang diberikan membabitkan vokal dan tarian benar-benar menguji ketahanan mental sebagai penyanyi.

“Dari hari ke hari latihan yang diberikan oleh tenaga pengajar memang dasyat. Macam ‘didera’ rasa. Sebagai contoh menari, saya bukan saja kena belajar satu jenis tarian, tapi banyak.

“Antaranya, tarian moden, tradisional dan Bollywood. Bagi saya, setiap satu adalah cabaran apatah lagi saya bukan penari. Memang kena tahan mental. Kalau tidak, boleh mengalah dibuatnya.

“Tapi, saya menjadikan semua itu sebagai proses pembelajaran. Saya percaya setiap tenaga pengajar yang terbabit mahukan yang terbaik untuk konsert ini,” katanya kepada Harian Metro.

Khai yang baru muncul menerusi lagu HatiNyawa berkata, pada konsert itu dia akan diuji menjadi seorang penghibur versatil.

“Saya bukan saja kena menyanyi, tapi setiap lagu ada penceritaan. Malah, sepanjang konsert itu ada jalan cerita tersendiri. Semua itu, saya kena sampaikan sendiri.

“Alhamdulillah, saya bertuah apabila Kak Ogy selaku penerbit eksekutif ini menyediakan tenaga pengajar terbaik untuk saya. Tinggal lagi saya kena berikan yang terbaik.

“Insya-Allah, saya cuba dan tidak mahu menghampakan semua pihak. Namun, saya tidak mahu terlalu yakin. Apa boleh dibuat, berlatih untuk menjadi yang terbaik,” katanya.

Konsert berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan Khai menyanyikan hampir 20.

Antara tenaga pengajar terbabit adalah Pat Ibrahim selaku pengarah dan pereka tari, Adeep Nahar (guru vokal) dan Saiful Ridzuan Sharadudin (pengarah muzik) dan ramai lagi.

Tiket bagi menyaksikan konsert itu masih boleh dibeli di www.airasiaredtix.com

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 7:02 PM