HASLINA (lima dari kanan) bersama Haqiem (enam dari kanan) dan peserta di Majlis Pra Pelancaran Program JAM 2020 di Wisma Tani. FOTO Eizairi Shamsudin
HASLINA (lima dari kanan) bersama Haqiem (enam dari kanan) dan peserta di Majlis Pra Pelancaran Program JAM 2020 di Wisma Tani. FOTO Eizairi Shamsudin
Oleh Najiy Jefri


MENYEDARI minat mendalam penyanyi, Haqiem Rusli ke arah bidang pertanian, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) melantik pelantun lagu Lembah Kesepian itu sebagai Ikon Selebriti Jelajah Agropreneur Muda (JAM) 2020.

Melihat pembabitan golongan muda mampu memberi impak positif, JAM 2020 mahu mendekati lebih ramai golongan muda terutama yang berusia 18 hingga 40 tahun menyertai aktiviti melalui pendekatan turun padang yang lebih santai.

Haqiem yang dilantik Ikon Selebriti JAM 2020 mengaku berminat dalam bidang pertanian.

Katanya, seawal usia 18 tahun lagi dia sudah menyimpan hasrat memiliki kolam ikan talapia, tetapi tidak tahu cara untuk merealisasikan projek itu.

Tambahan pula, kekangan masa akibat komitmen kepada dunia muzik menyebabkan hasrat memiliki kolam ternakan ikan terpaksa ditangguhkan seketika.

“Keluarga saya berasal dari Hulu Langat. Aktiviti pertanian bukan sesuatu yang asing buat kami.

“Sejak kecil saya memasang impian membuka kolam ikan. Saya juga suka memancing ikan dan udang. Tetapi, selama ini saya tidak tahu kerajaan menyediakan pembiayaan untuk anak muda menceburi bidang ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MOA di Putrajaya, baru-baru ini.

SIMPAN hasrat miliki kolam ikan talapia. FOTO Eizairi Shamsudin
SIMPAN hasrat miliki kolam ikan talapia. FOTO Eizairi Shamsudin

Menurut Haqiem, selepas dilantik menjadi ikon itu, baru dia tahu kerajaan bukan sahaja menyediakan bantuan dana, malah kelas bimbingan percuma.

“Saya berharap kehadiran saya sebagai ikon mampu menarik lebih ramai generasi muda untuk terbabit dalam dunia pertanian yang mampu menjana pendapatan lumayan.

“Ketika ditawarkan sebagai ikon saya sendiri melihat usaha murni mereka untuk menarik lebih ramai generasi muda untuk terbabit dengan pendekatan pelbagai aktiviti yang dekat dengan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar MOA, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, pemilihan Haqiem sebagai Ikon Selebriti JAM dapat menarik golongan muda untuk menceburi bidang pertanian dan industri makanan.

“Mungkin selepas ini Haqiem bakal menjadi antara agropreneur muda berjaya.

“Kami berharap, Haqiem dapat membantu kementerian membawa mesej penting bahawa sektor pertanian memerlukan golongan muda dalam memastikan kelestarian industri ini,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 2016, MOA membantu 5,819 peserta melalui kelulusan geran dan pembiayaan agropreneur muda.

Program itu akan diadakan di lima zon seluruh negara membabitkan zon utara, timur, Borneo, selatan dan tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 6:40 AM