PENYANYI, Ameer Forteen. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
PENYANYI, Ameer Forteen. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI, Ameer Forteen yang baru menimang cahaya mata lelaki pada 14 Mac lalu hanya membenarkan sesi ziarah dan lawatan terhadap bayinya dibuat selepas penularan wabak Covid-19 reda.

Ameer atau nama sebenarnya Ameerais Azhar berkata, ia penting bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku apatah lagi imunisasi bayi masih lemah.

“Buat masa sekarang, saya rasa biarlah isu wabak Covid-19 ini reda dahulu. Selepas itu, barulah saya benarkan untuk keluarga melawat dan menziarahi isteri dan bayi.

“Bukan apa, sistem imunisasi bayi mungkin tak sekuat orang dewasa. Jadi, bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penyakit, biarlah kita pastikan semuanya okay terlebih dahulu," katanya kepada Harian Metro.

Berkongi mengenai kelahiran bayi sulungnya yang diberi nama Noah Eusoff itu, Ameer berkata ia satu pengalaman indah buat dirinya terutama ketika dapat melihat proses kelahiran.

Malah, Ameer mengakui betapa besar pengorbanan isteri tercinta, Siti Nurnaja'a Shamsul Kamar yang berjuang untuk melahirkan anak mereka.

"Ini adalah pengalaman pertama bergelar bapa dan ia sangat berharga. Ketika melihat anak dilahirkan, saya tidak dapat menahan air mata daripada mengalir.

"Ketika isteri hamil, kami cuba untuk mengadaptasi kehidupan kepada satu lagi fasa baharu. Apabila dapat pegang anak dan dengar degupan jantungnya, ada satu perasaan yang tak dapat saya gambarkan yang semuanya sudah menjadi realiti," katanya.

Menurut Ameer, ini adalah amanah Allah yang tidak terhingga buat dia dan isteri.

"Bila melihat sendiri bagaimana proses kelahiran, saya faham pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu dan bagaimana ibu kita berjuang melahirkan kita.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas rezeki dan amanah yang Dia berikan kepada saya dan isteri," katanya.

Terbaharu, Ameer bakal muncul dengan buah tangan terbaharu yang dikeluarkan khas bersempena kehadiran anak sulungnya itu.

Ameer bertunang dengan Nurnaja’a pada 13 Oktober 2018 selepas lebih setahun berkenalan menerusi media sosial dan berkahwin pada 1 Mac 2019.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 12:34 PM