DOLLA dianggotai Sabrina (dari kiri), Angel, Syasya dan Tabby mahu warnai muzik dengan ruang dan nafas baru.
DOLLA dianggotai Sabrina (dari kiri), Angel, Syasya dan Tabby mahu warnai muzik dengan ruang dan nafas baru.

SEMAKIN meraih perhatian selepas memberikan persembahan mengujakan pada Final RapstarERA 2020 baru-baru ini, kumpulan Dolla yang dibarisi empat gadis cantik ini mempertaruhkan bakat besar dalam bidang seni.

Dianggotai Sabrina, Tabby, Syasya dan Angel, Dolla kini tampil dengan single pertama berjudul Make You Wanna.

Single ini dihasilkan komposer dan produser lagu popular dari Australia, Bryan B serta Zamaera, Bryan B, Shou Raion dan Luca Sickta.

Menurut Sabrina, single terbaharu ini menceritakan mengenai keyakinan diri dan keberanian seorang wanita dalam membuktikan bahawa setiap manusia itu berharga dan berhak untuk dihormati.

“Kami mahu menarik perhatian kepada kepentingan berasa yakin dan selesa dengan diri sendiri. Wanita yang berkeyakinan tinggi akan lebih menyerlah dan menarik perhatian ramai pihak.

“Saya gembira kerana lagu ini menonjolkan kekuatan wanita. Bukan saja sesuai dimainkan di radio, tapi Make You Wanna membuat kita terasa ingin menari.

“Orang yang tidak suka menari pun akan menari bila mendengar lagu ini,” katanya.

Menurut Sabrina, dia berharap pelancaran single itu dapat mengetengahkan mereka sebagai kumpulan wanita generasi baru yang bakal mengegar industri muzik Malaysia.

“Semua ahli kumpulan Dolla wanita berasal dari Kuala Lumpur. Ia ditubuhkan pada tahun lalu.

“Kami begitu optimis dan berharap dapat meletakkan diri di tahap yang tinggi dalam industri muzik Malaysia, sekali gus mewarnai muzik dengan ruang dan nafas baru,” katanya.

Make You Wanna terbitan dan edaran Universal Music Malaysia dan Lion Music Group Malaysia ini boleh didapati menerusi aplikasi penstriman muzik seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 6:10 AM
Digital NSTP Subscribe