SHUHAIMI Lua. FOTO Ihsan Instagram
SHUHAIMI Lua. FOTO Ihsan Instagram
Syafil Syazwan Jefri


PENGARAH dan penerbit Tanah Beris Film Production Sdn Bhd, Shuhaimi Lua memohon pihak kerajaan supaya melihat dan merancang sesuatu untuk membantu golongan penggiat seni tanah air serta mereka yang bekerja di belakang tabir.

Shuhaimi berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac dan dilanjutkan sehingga 14 April ini sedikit sebanyak memberikan kesan kepada mereka.

"Sudah semestinya, PKP ini memberi kesan kepada pendapatan banyak pihak terutamanya penggiat seni dan pekerja belakang tabir.

"Sehingga hari ini, saya belum mendengar sebarang pakej rancangan daripada pihak kerajaan kepada penggiat seni dan pekerja belakang tabir yang juga turut terjejas teruk," katanya kepada Harian Metro.

Shuhaimi juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa persatuan yang menghulurkan bantuan buat mereka yang memerlukan.

"Pihak Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) ada mengadakan kutipan derma kilat dan memberikan bantuan barangan keperluan harian kepada ahli.

"Sedikit sebanyak, ia dapat membantu mereka yang terpaksa berdepan situasi ini tanpa sebarang pendapatan," katanya.

Dalam masa sama, Shuhaimi juga meminta masyarakat supaya terus membantu dan akur dengan perintah kerajaan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

"Selama sebulan, kami semua tak bekerja dan tak bergaji. Ini adalah situasi yang amat sukar. Walaubagaimanapun, kita reda dan patuh dengan perintah daripada pihak kerajaan sehingga 14 April ini supaya terus berada di rumah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 6:00 PM
    Digital NSTP Subscribe