ZED ZAIDI
ZED ZAIDI
Syafil Syazwan Jefri


“YANG saya tahu, itu bukan saya”.

Itu jawapan pelakon yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ketika diminta mengulas mengenai gambar tidak senonoh miripnya yang tular sejak pagi hari ini.

Zed ketika dihubungi berkata, dia sudah bersiap sedia untuk berdepan situasi begini lebih-lebih lagi apabila namanya dan Seniman dikecam hebat selepas menyenaraikan beberapa cadangan untuk Bantuan Covid-19 Penggiat Seni 2020 dikeluarkan, baru-baru ini.

“Mereka boleh buat apa saja kerana mereka adalah penggodam atau ‘hackers’. Saya sudah bersiap sedia sejak sekian lama dan saya anggap ini sebagai cabaran dalam perjuangan saya untuk industri dan anak seni,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, jika dia berkeras meyakinkan bahawa individu dalam gambar itu bukanlah dirinya, netizen tidak akan percaya lebih-lebih lagi dalam tempoh krisis hebat antara netizen dengan artis yang berlaku sekarang.

“Dalam masa sekarang, apa saja yang kita cakap, orang takkan dengar. Kalau saya cakap itu bukan saya pun, orang takkan percaya.

“Pada saya, ini bukan perkara baru kerana sejak awal pembabitan saya dalam industri hiburan, sudah ramai orang yang mengecam bahkan ada yang mengugut.

“Itu semua adalah untuk kita menambahbaik diri kita. Kalau semua orang terlalu memuji, itu sudah membodek,” katanya.

Gambar itu mula tular sejak pagi tadi dan mula diperkatakan mengenai individu yang mirip dengan Zed dari segi wajah dan bentuk tubuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 8:41 PM