PENGACARA, Dayah bersama suaminya. FOTO Ihsan Instagram
PENGACARA, Dayah bersama suaminya. FOTO Ihsan Instagram

 

PENGACARA Borak Kopitiam TV3, Dayah Bakar mengesahkan dia kini hamil anak pertama dan usia kandungannya sudah mencecah empat bulan.

Dayah berkata, selepas ‘menyembunyikan’ kandungannya itu untuk beberapa bulan, dia percaya sekarang adalah masa sesuai untuk berkongsi berita gembira itu kepada umum.

“Saya ambil sedikit masa untuk berkongsi berita kehamilan ini tapi saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai. Saya dan suami bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi. Insya-Allah saya dijangka melahirkan anak sulung pada awal September depan,” katanya.

Ditanya mengenai alahan, Dayah atau nama sebenarnya Nur Hidayah Abu Bakar berkata, dia berdepan keadaan itu di peringkat awal kehamilan.

“Saya mengalami muntah teruk dan badan rasa sangat lemah berbanding keadaan diri saya sebelum ini yang sangat aktif. Namun kebetulan Februari lalu saya ambil cuti sebab ikut perancangan nak ke Australia berjumpa suami tapi keadaan cuaca di sana tidak mengizinkan dan saya pun baru tahu hamil. Jadi saya tangguhkan perjalanan ke Australia dan ambil keputusan untuk berehat di rumah,” katanya.

Menurut Dayah, dia berharap semua pihak mendoakan agar kehamilan pertamanya berjalan dengan lancar dan diberi kekuatan sehingga proses kelahiran nanti. 

“Tiada lebih yang saya minta selain daripada mendoakan untuk kesihatan, kekuatan serta  kemudahan kepada saya dan anak. Dari hati yang terdalam , saya juga mendoakan untuk kalian yang berdoa dan berusaha untuk mendapatkan zuriat , diberikan rezeki tidak lama lagi,” katanya.

Dayah berkahwin dengan pegawai tentera Kapten Muhammad Hanif Hamidi pada 29 Jun 2018 di Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 4:15 PM