ASHRAF Muslim
ASHRAF Muslim
Sudirman Mohd Tahir

 

PELAKON Ashraf Muslim yang turut menjalani penggambaran drama di Inverness, Scotland belum bersedia berkongsi keadaan kesihatannya selepas tiba di tanah air pada 31 Mac lalu.

Ashraf bersama 18 orang lain termasuk kru dan pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu iaitu sebelum peningkatan kes Covid-19 kes dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Seperti dilaporkan Harian Metro, lima kru termasuk dua pelakon, Puteri Aishah, Puteri Rayyana Rayqa dan ibu Rayqa iaitu Syira disahkan positif wabak Covid-19.

Ia menjadikan jumlah yang positif wabak itu seramai lapan orang daripada pasukan produksi itu.

Ashraf ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hanya menjawab ringkas pertanyaan diberikan.

ASHRAF bersama Puteri Aishah dan adik, Puteri Rayyana Rayqa ketika menjalani penggambaran di Scotland.
ASHRAF bersama Puteri Aishah dan adik, Puteri Rayyana Rayqa ketika menjalani penggambaran di Scotland.

“Waalaikumussalam...nantilah ya,” katanya ringkas.

Bagaimanapun, menerusi status dimuat naik di Instagram, Ashraf memaklumkan dia masih menjalani kuarantin diri.

“Hari ini genaplah anakku Sarah Ashraf berusia enam tahun. Sudah besar. Happy birthday Sarah. Ayah tidak dapat sambut ‘birthday’ hari ni sebab kena ‘self quarantine’.

“Insya-Allah, selesai semua ini kita sambut sama-sama dengan kek unicorn ya. Miss u anje. Ayah doakan jadi anak yang solehah. Itu sudah cukup untuk ayah. Doakan ayah di sini. Love you!” tulisnya.

Selain Ashraf, pelakon lain yang turut menyertai rombongan itu ialah Puteri Aishah, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 12:41 PM