RASHID SIBIR
RASHID SIBIR
Sudirman Mohd Tahir


PENGARAH terkenal, Rashid Sibir lebih suka memilih pelakon veteran bagi menjayakan watak orang tua dalam karya terbitan dan arahannya berbanding pelakon muda yang disolek menjadi tua.

Rashid berkata, komitmen diberikan pelakon veteran jauh lebih bagus selain menyifatkan mereka tidak menyusahkan proses penggambaran.

"Setiap orang mempunyai pandangan berbeza. Bagi saya, setiap drama kalau boleh nak ada artis lama ini kerana memang kena watak mereka.

"Artis muda ini banyak lagi masa nak belakon orang tua. Sepanjang pengalaman bekerjasama dengan mereka, setakat ini artis veteran menyeronokkan dan jarang menyusahkan apabila di lokasi penggambaran. Mereka jarang lambatkan penggambaran. Malah, pelakon yang baru berlagak diva itu lagi banyak 'songeh'. Lagilah melambatkan penggambaran berbanding artis veteran," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rashid, pelakon veteran lebih mudah memahami watak, tidak banyak aduan dan mudah memberikan kerjasama.

"Mereka tak banyak bunyi dan paling mudah bekerja, faham watak lebih mendalam dan hafal dialog bagus. Biasalah kalau dialog panjang, kena 'cut' sikit dan bukannya dua muka surat dialog nak jalan sekali.

 "Sebagai contoh, Fauziah Nawi, hafal dialog sempurna. Nasir Bilal Khan, satu dialog tak ada tinggal. Norlia Ghani, penghayatanya dan 'mood' bagus dan Wan Maimunah pula ratu air mata. Allahyarham Mariani, Azean Irdawaty dan Yusni Jaafar, semua pelakon veteran yang bagus. Jangan nafikan kehebatan dan komitmen mereka.

"Memang mereka agak penat, tapi penat itu kan sesuai dengan watak orang tua. Cepat mengah lagi cantik. Takkan sudah tua tapi gerak cergas sangat. Mesti lambat mengikut usia. Hafal dialog kena berlatih dan ambil satu persatu. Sebab drama bukan siaran langsung yang tidak boleh ada salah. Lagi pun, sudut 'close up' dibalas 'close up'. Boleh 'cover' dialog," katanya.

Rashid berkata, bagaimanapun tidak menjadi satu kesalahan jika ada produksi yang menggunakan khidmat pelakon muda kemudian disolek menjadi tua.

"Kecuali memang tidak dapat yang sesuai atau pun yang ada turutan umur. Sebagai contoh, pelakon sama belakon dari usia 20, 40, 60 dan 80 tahun dan dimekap menampakkan usia berubah. Terpulang masing-masing. Kalau pelakon itu disolek menjadi tua dan berjaya bawa watak, saya rasa okay saja," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 2:35 PM