Bekas isteri PU Abu, Hana Azraa
Bekas isteri PU Abu, Hana Azraa
Norhayati Nordin


WALAUPUN hubungan rumah tangganya dengan pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Abu sudah terlerai, Hana Azraa tetap terus dikaitkan dengan pendakwah kontroversi itu.

Hana atau nama sebenarnya Nurhannah Azra Mohd Zakir ketika dihubungi berkata, dia ligat berniaga untuk mencari rezeki buat anak-anaknya dan tiada kaitan dengan nafkah tidak dibayar.

"Sejak berpisah, hingga kini Abu masih memberi nafkah untuk anak kami, Muhammad Uwais Al- Mateeen yang berusia tiga bulan kerana menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa.

"Cuma, saya perlu bangkit berdikari mencari rezeki sendiri untuk anak-anak. Sebagai ibu tunggal, saya tidak boleh terus bergantung sepenuhnya pada nafkah diberikan itu. Memandangkan, saya pun sudah berniaga sebelum berkahwin dengan Abu, jadi adalah lebih baik saya fokus semula kepada perniagaan yang diusahakan selama ini," katanya kepada Harian Metro.

Hana berkata, dia dan Abu pun masih berhubung kerana anak. Walaupun jodoh mereka tidak lama tetapi tiada sebab untuk dia bermusuh dengan bekas suami.

"Saya anggap, apa yang berlaku dengan Abu itu adalah takdir dan kami bercerai kerana sudah tiada jodoh. Bagaimanapun, kami harus kekal baik demi anak.

"Perkara ini (hubungan baik) saya buat bukan dengan Abu sahaja, tetapi bersama bekas suami pertama dahulu pun masih baik juga. Saya selesa melihat ke arah positif dan tiada dendam di hati," katanya.

Mengulas perniagaan produk kecantikan dan kesihatan itu, Hana berkata, perniagaan itu dibuat secara atas talian dan segala maklumat dikongsi melalui platform media sosial.

 "Saya tidak mahu menjadi ibu tunggal yang lemah. Demi anak-anak, saya perlu kuat untuk meneruskan kehidupan kami. Saya kena usaha cari rezeki sendiri. Lagi pun, saya minta jangan terus dikaitkan dengan Abu. Kami sudah bercerai dan kini membawa haluan masing-masing," katanya kini menetap bersama keluarga di Kedah.

Menurut Hana, dia sangat mengharapkan sokongan dan semangat untuk memantapkan perniagaannya.

Hana dan Abu mendirikan rumah tangga pada Mei tahun lalu dan dikurniakan cahaya mata lelaki pada 1 Februari lalu.

Selain itu, Hana juga memiliki seorang anak perempuan, Afifah Aisyah, 4, dari perkahwinan pertamanya.

Kemelut rumah tangga Hana dan Abu yang dikata berada di hujung tanduk sudah diperkatakan sejak pertengahan Februari lalu dan Hana tampil menjelaskan mereka sudah berpisah sekitar April lalu.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 4:22 PM