Shah Iskandar bersama isteri.
Shah Iskandar bersama isteri.
Sudirman Mohd Tahir

 

SELEPAS empat tahun berkahwin, pelakon Shah Iskandar, 38, akhirnya dikurniakan berita gembira awal tahun ini apabila isterinya, Siti Sarah Mohd Noor disahkan hamil.

Shah berkata, berita kehamilan itu diterima selepas pulang dari menjalani penggambaran di Uzbekistan dan Makkah pada awal Februari lalu.

"Alhamdulillah, berkat doa keluarga dan kawan-kawan akhirnya kami bakal dikurniakan cahaya mata pertama. Selepas pulang menjalani penggambaran di Makkah, baru saya bawa isteri ke klinik untuk buat pemeriksaan bagi mendapatkan pengesahan daripada doktor.

"Sebelum ni tak pernah lagi ada rezeki. Ini kali pertama dan saya agak risau dan bercampur teruja. Teruja kerana tak lama lagi saya akan menjadi 'Daddy Shah'.

"Insya Allah, jantina bayi akan dapat diketahui bulan depan. Sebenarnya, kami tak kisah bayi lelaki atau perempuan kerana anak adalah anugerah terbaik daripada Allah SWT. Apa yang penting bayi yang bakal lahir sihat dan cukup sifat," katanya sambil menjelaskan isterinya kini hamil empat bulan.

Shah yang juga pelakon drama Jodoh Jodoh Annisa berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia dan isteri banyak belajar mengenai ilmu dan tips keibubapaan.

"Kami berdua mangambil kesempatan PKP dan bulan Ramadan ini untuk duduk di rumah dan banyak membaca buku keibubapaan. Isteri juga kerap mengaji al-Quran selepas waktu sahur dan solat Subuh dan juga selepas berbuka puasa puasa dan Maghrib sambil menunggu Isyak.

"Dalam masa sama, kami memberikan perhatian yang lebih terhadap semua prosuder operasi standard (SOP) sebab kami betul-betul mahu menjaga anak yang bakal lahir ini.

"Saya dan isteri tidak sabar nak masuk ke alam 'mummy daddy'. Begitu juga dengan kedua ibu bapa kami yang sangat gembira bila dapat tahu khabar ini," katanya.

Pasangan ini berkahwin pada 16 Januari 2016 di Singapura.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 3:19 PM