Pelakon, Adli Juvana bergambar bersama salah seorang penumpang yang menggunakan perkhidmatan Grab yang dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. FOTO IHSAN ADLI JUVANA
Pelakon, Adli Juvana bergambar bersama salah seorang penumpang yang menggunakan perkhidmatan Grab yang dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa. FOTO IHSAN ADLI JUVANA
Ahmad Rabiul Zulkifli


RAMAI artis yang kehilangan sumber pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjalankan perniagaan untuk menampung kehidupan, tetapi berlainan dengan pelakon Adli Juvana yang mencari rezeki dengan menjadi pemandu e-hailing di sekitar Lembah Klang.

Adli Juvana atau nama sebenarnya Adli Zil Ikram Abu Bakar, 35, dari Kampung Tempurung, Kemaman, Terengganu antara pelakon drama Bukan Gadis Biasa yang bersiaran di TV3 sepanjang Ramadan ini.

Katanya, dia menjadi pemandu e-hailing sejak Mac lalu bagi menampung keperluannya selepas kehilangan sumber pendapatan sebagai pelakon berikutan PKP yang berkuat kuasa.

"Sepatutnya saya menjalani penggambaran filem Duan arahan Sabri Yunus di Kelantan dan sekitar Kuala Lumpur pada April lalu, namun terpaksa dibatalkan. Banyak tawaran lakonan tertangguh kerana PKP berkuat kuasa.

"Saya tiada pilihan lain sekarang selain menjalankan perkhidmatan pemandu e-hailing untuk memperolehi sedikit wang bagi menampung keperluan hidup di Kuala Lumpur," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia mengakui menjadi pemandu e-hailing ketika PKP berkuat kuasa memang mencabar kerana pendapatan tidak menentu dan lebih rendah jika dibandingkan pada hari biasa.

"Nak dapat RM100 sehari pun susah. Pernah saya hanya memperolehi dua g penumpang sahaja sehari dengan pendapatan RM20.

"Memang berasa sedih, tetapi apa boleh buat hanya itu pekerjaan yang mampu saya buat setakat ini.

"Saya berasa lega apabila Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa sekarang untuk memulih keadaan, malah sambutan terhadap perkhidmatan dijalankan semakin meningkat menjelang Aidilfitri," katanya.

Katanya, sepanjang PKP, ramai rakan artis yang sengaja menggunakan perkhidmatannya kerana ingin membantu.

"Terharu juga apabila rakan artis seperti pelakon ternama, Fauziah Nawi turut menggunakan perkhidmatan saya untuk ke pasar dan sebagainya.

"Ibu Fauziah Nawi akan menggunakan khidmat ini dua kali sebulan dan dia pernah memberi duit tambang sebanyak RM200 sedangkan saya hanya membawanya ke pasar pada jarak 10 kilometer sahaja," katanya.

Katanya, selain itu pekerja belakang tabir juga ramai yang menggunakan perkhidmatannya untuk menghantar barang dan sebagainya sepanjang tempoh ini di samping peminat juga memberi sokongan.

"Memandangkan saya mempunyai tanda lahir pada wajah, identiti saya mudah dicam peminat biarpun memakai pelitup muka," katanya yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2004 hingga 2018 dan pernah berkhidmat dalam Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Selatan Lubnan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 5:33 PM