"Tak payah balik, mak okay. Janganlah degil. Sudah berapa tahun kita selalu sambut raya bersama, kali ini saja tak. Nyawa tu lebih penting. Insha-Allah nanti kita dapat bersama."

Demikian dialog yang diluahkan pelakon terkenal, Fauziah Nawi menerusi satu hantaran video pesanan masyarakat yang mengundang rasa sebak sebahagian pengikutnya di Instagram termasuk golongan selebriti.

Fauziah,66, ketika dihubungi berkata, menerusi video yang dimuat naik itu dia mengakui hampir mengalirkan air mata kerana mewakili perasaan ibu apabila tidak dapat bertemu anak-anak pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

"Video pesanan khidmat masyarakat ini adalah kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman). Segala dialog dalam video itu ditulis sepenuhnya oleh saya.

"Ketika merakam video ini saya hampir nak menangis kerana sebagai ibu sudah tentu rasa sedih apabila anak-anak tidak dapat pulang ke kampung menyambut raya. Ibu biasanya akan selalu cakap dia okay walaupun perasaan itu sebaliknya.

"Namun janganlah kita berdegil kerana kerajaan sudah membuat pengumuman dan melarang tindakan merentas negeri sempena Aidilfitri ini," katanya.

Menurut Fauziah yang mesra disapa sebagai ibu, dia berharap kepada mana-mana individu yang berhajat untuk pulang ke kampung untuk melupakan hasrat itu seketika waktu kerana bimbang keadaan bertambah lebih buruk.

"Sesetengah orang yang tetap berkeras nak balik kampung memang tak boleh nak buat apa. Lagi dilarang, lagi pandai mereka cari peluang untuk curi-curi balik.

"Namun cuba fikir apabila kita balik kampung, tiba-tiba mak kita jatuh sakit. Baru tahun ini saja kita tak dapat balik kampung beraya, jadi kenapa nak lawan.

"Saya harap tak perlu kita nak degil kerana kalau balik kampung pun tak semestinya tinggal bersama keluarga, ada keluarga yang menginap di hotel kerana keadaan rumah mak yang kecil dan pelbagai lagi alasan diberi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 10:51 PM