FIZZ Fairuz (kiri) dan Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin (kanan) bersama penerima sumbangan barang keperluan asas di Maran, Pahang.
FIZZ Fairuz (kiri) dan Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin (kanan) bersama penerima sumbangan barang keperluan asas di Maran, Pahang.

JENAMA perniagaan baharu di bawah AirAsia Berhad, Ikhlas bekerjasama dengan Pertubuhan Khairat Anak Seni Malaysia (Perkhas) menyalurkan sumbangan barangan keperluan asas bernilai RM10,000 kepada petugas barisan hadapan dan 200 keluarga pelbagai komuniti di Felda Jengka 3, Maran, Pahang, baru-baru ini.

Presiden Perkhas, Datuk Fizz Fairuz berkata, pihaknya bersyukur dan berterima kasih kepada Ikhlas dengan kerjasama itu  menerusi kempen Derma Dengan Ikhlas.

"Dengan adanya kerjasama ini, kita dapat terus membantu orang yang memerlukan termasuk golongan asnaf, petugas barisan hadapan, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

"Pihak kami berharap sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, laksa, tepung, kordial, gula, krimer, mihun, telur dan air minuman yang disampaikan ini serba sedikit dapat meringankan beban kehidupan seharian mereka," katanya yang juga pelakon.

Sementara itu, Ketua Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata, kempen Derma Dengan Ikhas berjaya mencapai sasaran kutipan lebih RM1 juta melalui inisiatif derma digital awam.

"Kami bersyukur kempen Derma Dengan Ikhlas berjalan dengan lancar dan dana yang terkumpul melalui inisiatif derma digital awam ini dapat meringankan beban komuniti yang memerlukan, terutama pada masa yang mencabar ini.

"Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Perkhas untuk terus mengedarkan barangan keperluan asas kepada lebih ramai keluarga dan dalam masa yang sama membantu peniaga tempatan," katanya.

Kempen ini juga adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 9:08 AM