PUTERI Aishah. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
PUTERI Aishah. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN


PELAKON Puteri Aishah yang pernah dijangkiti Covid-19, baru-baru ini mengakui masih trauma untuk kembali menjalani penggambaran walaupun kerajaan membenarkan aktiviti itu beroperasi bermula 1 Jun ini dalam suasana normal baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Puteri berkata, buat masa ini dia runsing memikirkan baki penggambaran drama yang tertangguh memandangkan dirinya berdepan situasi mencemaskan  itu pada 7 April lalu.

"Jika difikirkan, memang runsing nak meneruskan penggambaran. Lagipun lokasi penggambaran drama yang tertangguh itu di luar negara. Melihat keadaan sekarang dan pengalaman yang dilalui, saya trauma untuk menjalani penggambaran di luar negara.

"Saya tidak mahu susahkan sesiapa, tetapi saya kena fikir keadaan kesihatan dan keselamatan diri. Namun, kalau betul pihak produksi boleh mengikut arahan dan berani memberi jaminan melaksanakan SOP seperti yang ditetapkan, mungkin rasa risau itu kurang sedikit," katanya.

Rabu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, syarikat produksi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Puteri berpendapat kebenaran yang diberikan kerajaan untuk meneruskan penggambaran masih tidak selamat ketika ini memandangkan negara masih belum 'menang' bagi memutuskan rangkaian Covid-19.

"Sehingga kini saya masih lagi rasa tak selamat di mana pun saya berada atau apa  saja saya lakukan. Bak kat orang, kita belum menang. Ya, memang kebenaran sudah diberikan tapi bolehkah kru dan artis menyesuaikan diri dengan normal baharu ini?.

"Semua perkara akan berbeza dengan sebelum ini. Mampukah semua orang mengikut peraturan baru ini sedangkan sebelum ini kawasan larangan merokok pun masih ada yang langgar?

"Saya percaya pasti ramai yang masih kabur atau tidak biasa dengan normal baharu. Saya bukan hanya risau kepada kru dan artis, namun sebagai seorang yang pernah dijangkiti wabak ini saya masih susah nak sesuaikan diri lagi," katanya.

Puteri disahkan positif Covid-19 selepas seminggu pulang dari menjalani penggambaran drama Demi di Scotland pada 31 Mac lalu.

Selain Puteri, pelakon Ashraf Muslim, pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Raqya dan ibunya, Syira serta lima kru produksi termasuk pengarah, penolong pengarah, jurusolek dan jurukamera turut positif penyakit itu.

Pada 18 April lalu, Puteri mengesahkan dirinya pulih daripada Covid-19 selepas hampir dua minggu dirawat dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 8:47 PM