Pengarah, Shahrulezad Mohameddin. FOTO AZIAH AZMEE
Pengarah, Shahrulezad Mohameddin. FOTO AZIAH AZMEE
Georgie Joseph


PENERBIT dan pengarah Shahrulezad Mohameddin meminta kru produksinya melakukan kuarantin diri bermula hari ini sebagai persediaan menjalani penggambaran semula yang dijangka selepas 1 Jun depan.

Shahrulezad berkata, dia juga tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana kru yang didapati ingkar arahan itu dan dihalang mengikuti penggambaran bagi memastikan keselamatan bersama di lokasi nanti.

"Kami tiada peruntukan wang untuk membiaya setiap kru yang terbabit menjalani saringan kesihatan disebabkan kosnya begitu mahal. Disebabkan itu, persediaan terbaik adalah mendesak mereka buat 'self-quarantine'.

"Kami juga memantau keberadaan mereka dalam tempoh dua minggu ini demi memastikan mereka patuh arahan itu. Jika ingkar dan anggap arahan ini sambil lewa, bersedialah untuk 'ditendang' dari penggambaran.

"Mengikut saranan kerajaan yang menetapkan tidak boleh lebih 20 orang berada di set, kami ambil peraturan itu dengan serius. Jadi, dalam hal memilih siapa yang perlu bekerja, kami memang sangat cerewet," katanya.

Berkongsi lanjut, pengarah drama Nur itu bersyukur apabila kerajaan membenarkan kembali penggambaran drama dan filem dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

"Terima kasih kerajaan atas kebenaran diberikan itu dan secara peribadi, saya tiada aduan apa-apa walaupun SOP sangat ketat. Bukan industri filem saja, semua industri lain pun kena biasakan diri dengan normal baharu ini.

"Produksi saya sendiri sudah bersedia mematuhi SOP itu baik kru mahupun pelakon. Sekarang ini, kita kena fikir positif saja dan berusaha sebaik mungkin untuk menghindari terkena jangkitan virus ini," katanya.

Shahrulezad berkata, segalanya perlu bergantung dengan situasi sebenar apabila turun ke lokasi penggambaran kelak dan dia sukar membayangkan persediaan lengkap buat masa sekarang.

"Persediaan mematuhi SOP itu memang sudah sedia ada. Tapi, saya percaya akan berlaku sedikit kesukaran apabila membabitkan penjarakan sosial dan hal sebegitu sukar diramal.

"Contohnya apabila berada di ruang sempit, pasti akan berlaku kekangan untuk terus mematuhi penjarakan sosial. Bagaimanapun, kami sedia berusaha mematuhinya dengan serius kelak," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan bermula selepas sambutan Aidilfitri tertakluk kepada pematuhan SOP sedia ada.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 6:33 PM