RAJA AZMI
RAJA AZMI
Ridzuan Abdul Rahman


"BAK kata peribahasa, terlepas dari mulut buaya, masuk mulut harimau. Itulah yang berlaku Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia)," kata penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman mengenai perubahan kepimpinan Finas yang berkuatkuasa semalam.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan pelantikan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat, Zakaria Abd Hamid sebagai Pengerusi baharu Finas menggantikan Datuk Hans Isaac.

Turut diumumkan ialah pelantikan Presiden Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim sebagai timbalannya.

Raja Azmi berkata, menteri sepatutnya mengambil masa yang lama untuk menilai serta mendapatkan maklumat lengkap calon yang dilantik untuk jawatan terbabit.

"Bukan saya nak kata Zakaria tak boleh buat kerja, tapi kita tengok dulu kelulusannya. Dia seorang arkitek. Mungkin pembikinan filem sama seperti membina bangunan ikut langkah demi langkah, tapi kreativiti dan perancangan tak sama," katanya.

Menurutnya, kementerian sepatutnya melantik orang yang mempunyai kelulusan akademik dalam seni atau pembangunan filem.

"Kita ada banyak golongan ini di universiti-universiti, tapi apabila pemilihan berdasarkan politik, ia takkan ke mana. Dalam industri hiburan tak boleh ambil orang politik. Yang saya nampak takkan ada pembaharuan dan perubahan," katanya.

Mengulas mengenai Norman, Raja Azmi menyifatkan dia masih baru dalam industri filem.

"Dia bermula dengan muzik kemudian barulah masuk ke filem. Filemnya berkonsep komersial dan ada yang muzikal. Saya harap Norman buat sesuatu dan buktikan dia berjaya bangunkan Finas," katanya.

Bagaimanapun, Raja Azmi tidak mahu kenyataannya disalah anggap kerana ia adalah pandangan peribadi.

"Saya tak takut kerana kita bebas bercakap. Harapnya saya tak disenarai hitam oleh Finas selepas ini. Jangan kerana kenyataan saya ini buat saya susah nak cari makan. Filem saya Jerangkung Dalam Almari pun dah nak keluar dan jangan nanti apa sahaja yang berkaitan filem saya disekat," katanya.

Mengulas lanjut, Raja Azmi yang sudah 27 tahun terbabit dalam bidang perfileman berkata, dia melihat Finas tidak pernah berubah.

"Pernah berlaku sebelum ini kita tak boleh cuit langsung mengenai Finas. Apabila komen mengenai Ketua Pengarah, pasti akan disenarai hitam. Depan cakap okay tapi belakang tidak. Harap tahun 2020 akan ada pembaharuan," katanya.

Sementara itu, pengarah terkenal Ghaz Abu Bakar mengharapkan Zakaria dan Norman supaya memahami cara bekerja dalam industri perfileman.

"Mereka perlu tahu kitaran kami bekerja dari tingkat paling bawah hinggalah ke atas. Walaupun kontrak mereka biasanya tak lama, apabila dilantik dan sudah ambil tempat itu, tolonglah buat betul-betul.

"Kena telus dan jangan fikir untuk jadikan tempat itu untuk buat duit. Itu tanggungjawab yang dah diberikan dan jalankan tanggungjawab sebaiknya. Kami yang betul-betul bertungkus lumus nak memajukan industri filem ini sudah penat dengan politik," katanya.

Menurutnya, mereka ingin berkarya dan pada masa sama, karya mereka juga boleh menjana pendapatan ekonomi negara.

"Dalam hal ini, orang macam saya terutamanya, ingin bawa filem Malaysia ke peringkat antarabangsa. Saya sebenarnya kecewa kerana tempoh lantikan hanya dua tahun. Belum sempat buat apa-apa dah tamat kontrak atau dah digantikan. Orang yang dilantik itu perlu ada ilmu dan prihatin juga berkenaan badan kerajaan yang fungsinya seperti Finas di negara luar bekerja," katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu Finas digunakan hanya untuk mengawal apa yang boleh dan tidak boleh oleh pihak-pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 6:35 PM