FIZZ bersama Almy. Foto IG Fizz Fairuz
FIZZ bersama Almy. Foto IG Fizz Fairuz
Ridzuan Abdul Rahman


PELAKON Datuk Fizz Fairuz, 40, reda apabila isterinya, Datin Almy Nadia keguguran anak kelima mereka kerana mengalami pendarahan rahim pada 22 Mei lalu.

   Fizz atau nama sebenar Mohd Fairuz Zainal Abidin berkata,

Almy mulanya mengadu pedih serta sakit di bahagian perut dan tiga hari sebelum raya mengalami pendarahan tanpa henti setiap hari pada pagi dan petang.

   "Apabila jumpa doktor, kami diberitahu itu darah kotor. Termasuk, ia dikata berpunca daripada darah beku yang sudah pecah.

   "Setiap hari perut Almy disuntik dan Alhamdulillah nampak ada perubahan, tapi masih ada juga pendarahan.

   "Dia juga buat proses imbasan (scan) bahagian perut dan apabila dilihat dalam monitor macam ada perubahan. Apabila berjumpa doktor lagi,  dia disahkan mengandung," katanya kepada Harian Metro.

   Menurut Fizz lagi, kandungan isterinya itu berubah-ubah saiz kerana setiap hari mengalami perubahan.

   "Hari ini nampak sikit, esoknya dia jadi besar. Sepertinya darah beku,  semakin hari ia semakin membesar. Daripada satu sentimeter, naik ke dua sentimeter dan seterusnya enam sentimer.

   "Kami jumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya dan dapati luka dalam perut yang kelihatan seperti ulser semakin berdarah," katanya.

   Fizz berkata, Rabu lalu Almy mengadu terlalu sakit dan semalam mereka sekali lagi buat pemeriksaan doktor.

   "Doktor akhirnya buat keputusan melakukan pembedahan membuang darah beku dan mencuci rahim.

   "Kami setuju dengan keputusan ini kerana bayi pun dah tiada. Yang penting nyawa Almy selamat kerana dia terlalu lemah akibat kehilangan banyak darah.

   "Kandungannya pula berusia enam minggu tiga hari. Namun, kini kami masih menanti penjelasan lanjut daripada doktor," katanya.

   Pembedahan berlangsung semalam pada jam 3.30 petang di hospital swasta di Setapak, Kuala Lumpur yang mengambil masa lebih dua jam.

   Ini keguguran kali kedua membabitkan Almy kerana dia pernah mengalami perkara sama ketika kandungannya berusia 14 minggu pada Februari lalu.

   Fizz mengaku simpati dengan isterinya dan mahukan Almy berehat panjang sebelum mengandung semula.   

   "Saya sangat ambil berat kesihatan isteri. Tambah lagi, apa yang berlaku membabitkan bahagian dalaman," katanya berharap Almy cepat sembuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2020 @ 5:26 PM