Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Mawar Rashid sekali lagi menjadi bualan warganet apabila berjaya menghasilkan video #LathiChallenge yang sedang tular di laman sosial.

Mawar berkata, dia mengambil masa 16 jam untuk menyiapkan video yang memaparkan dirinya dalam persalinan tradisional Indonesia dan Thailand selain solekan hantu Thailand.

"Ini video versi Mekwa (panggilan diri) yang diminta peminat untuk saya buat. Jadi, saya dan abang rancang satu hari saja untuk pembikinan video ini.

"#LathiChallenge ini turut memaparkan solekan hantu Siam (Thailand). Kalau tengok tulisan pada bahagian muka pun bahasa Thai.

"Kami rancang empat jam, penggambaran ambil masa enam jam dan selesai jam 6 pagi. Proses suntingan pula ambil masa 16 jam. Saya buat istimewa sikit dengan mengenakan pakaian tradisional Indonesia dan Thailand," katanya.

Mawar yang juga pelakon drama TQ Captain mengakui tidak menjangka dapat menghasilkan video itu.

"Saya sendiri terbabit dalam video ini, jadi macam tak percaya boleh buat video sebegini. Nak menangis rasanya.

"Terima kasih pada abang saya, Eddy Rafuan sebab tolong rancang, 'shoot' dan suntingkan video ini. 99 peratus adalah hasil suntingannya.

"Terima kasih juga pada ibu saudara saya, Icu Maryana kerana tolong pakaikan baju dan buatkan rambut sampai dia pun tidur jam 6 pagi. Susah dan berat nak pakai baju tradisional Thailand ini. Dia juga tolong tuliskan bahasa Thai di muka.

"Terima kasih pada semua yang terbabit termasuk abang yang tolong sewakan baju. Dalam masa satu hari dia dapatkan untuk saya," katanya.

Video #LathiChallenge yang dimuat naik di Instagram itu mendapat hampir 500,000 tontonan dan lebih 4,000 komen.

Sebelum ini, Mawar pernah tular apabila dia membuat solekan watak Profesor iaitu watak yang terkenal dalam siri popular Money Heist.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 4:55 PM