JADI anak seni perlu diri sentiasa positif dengan persekitaran.
JADI anak seni perlu diri sentiasa positif dengan persekitaran.
Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular, Ernie Zakri berharap Nabila Razali yang terkucil ketika menyanyikan lagu Peluang Kedua sehingga tular supaya terus bangkit memberikan persembahan terbaik selepas ini.

Erni yang pernah mengalami perkara sama ketika kali pertama menyanyikan lagu Misteri pada program siaran langsung Malaysia Hari Ini dua tahun lalu berkata, apa yang berlaku ke atas Nabila adalah perkara biasa buat seorang penyanyi.

"Perkara macam ini adalah sesuatu yang normal bagi semua penyanyi bukan saja saya atau Nabila. Untuk semua penyanyi saya pasti semua pernah berlaku kesilapan atas pentas. Apa saja tak kisah dari sudut suara, lirik dan terjatuh. Ini orang panggil 'accident on stage'.

"Cuma nasib saya dan Nabila apabila menyanyi dalam program siaran langsung. Orang menonton dan terus perkatakan. Mungkin ada juga pernah tercekik atau 'accident on stage', tapi persembahan luar dan bukan secara langsung di TV.

ERNIE akui pernah hadapi situasi sama harap Nabila terus bangkit beri persembahan terbaik.
ERNIE akui pernah hadapi situasi sama harap Nabila terus bangkit beri persembahan terbaik.

"Bagi saya, daripada memikirkan apa warganet cakap, lebih baik kita hanya buat tak tahu dan selepas ini kembali dengan hasil yang lebih baik. Insya-Allah, saya pasti Nabila seorang yang sangat berusaha. Saya tahu dia juga mengikuti kelas vokal. Saya berasa selepas ini dia akan kembali dengan sesuatu yang lebih kuat dan akan asah lagi vokal," katanya.

Ernie yang juga pemenang Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu Ke-32 berkata, menjadi anak seni memerlukan diri sentiasa positif dengan persekitaran.

"Apa boleh dikatakan, untuk semua orang yang suka mengkritik lebih, bagi saya ini adalah 'kemalangan' dan masing-masing pernah melakukan kesilapan. Tidak kira kita berpengalaman atau tidak, banyak kali menyanyi atau tidak, benda ini boleh berlaku. Sebab kita manusia. Kondisi suara tak menentu. Jadi perkara ini sukar dijelaskan apabila kita tidak memahami.

"Dalam industri ini kita kena sentiasa positif dengan semua kawan-kawan artis. Saya sokong Nabila dan apa saja dia buat. Kesilapan boleh saja berlaku. Saya berasakan kalau warganet cakap apa pun, itu pilihan mereka.

"Saya tak boleh kata jangan kutuk dan hentam kami. Tidak boleh kerana mereka ada hak untuk perkatakan. Cuma sebagai penyanyi kami ditugaskan untuk menyanyi dan menyampaikan tanggungjawab. Macam kerja lain juga, mesti ada sedikit kesilapan. Kami juga manusia biasa.

PERNAH alami perkara sama ketika kali pertama menyanyikan lagu Misteri pada program siaran langsung dua tahun lalu.
PERNAH alami perkara sama ketika kali pertama menyanyikan lagu Misteri pada program siaran langsung dua tahun lalu.

"Tak bermaksud sebagai penyanyi tak boleh ada 'kemalangan' di pentas. Ia akan berlaku bila-bila masa saja. Cuma, kita kena belajar dari kesilapan. Itu saja," katanya.

Terdahulu, persembahan Nabila Razali menerusi lagu Peluang Kedua pada program Mega Raya Ria menjadi tular di laman sosial selepas nyanyiannya terkucil.

Klip pendek persembahan yang dikongsi warganet mendapat pelbagai komen.

Malah, tidak terkecuali juga yang memberikan kata-kata semangat buat dirinya.

Selepas dua hari gagal dihubungi bagi mendapatkan komen lanjut berkenaan insiden itu, Nabila tampil membuat permohonan maaf secara terbuka semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 6:30 AM