PUAN Sri Tiara Jacquelina. FOTO Aziah Azmee
PUAN Sri Tiara Jacquelina. FOTO Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


PENERBIT dan pengarah teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGL The Musical), Puan Seri Tiara Jacquelina mengumumkan mengenai pementasan teater itu yang ditunda ke tahun hadapan.

Menurutnya, banyak kekangan yang terpaksa dilalui sekaligus menjadi batu penghalang untuk teater ini mengikut jadual pementasan ditetapkan selama sebulan bermula 3 Julai depan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB).

"Saya tahu, ramai peminat dan pembeli tiket terawal akan kecewa dengan pengumuman ini. Saya juga turut terkesan dan berdukacita lebih-lebih lagi apabila pasukan produksi dan saya sendiri bekerja keras untuk mementaskan karya ini semula.

"Namun, melihat pada keselamatan dan kesihatan pelakon, pasukan produksi termasuk penonton menjadi keutamaan kami buat masa sekarang. Sekali gus, saya akur dengan perintah yang dikeluarkan kerajaan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan," katanya.

Kata Tiara lagi, beliau berjanji untuk mementaskan PGL The Musical dengan persembahan terbaik buat penonton.

"Saya jamin, apabila PGL The Musical dipentaskan pada tahun hadapan, ia akan menjadi satu pementasan yang terbaik pernah anda saksikan. Kami akan pastikan, penantian anda berbaloi," katanya.

Tiara yang juga 'Chief Dream Maker' Enfiniti (M) Sdn Bhd berkongsi beberapa persediaan yang sudah dilakukan oleh seluruh pasukan produksi yang terbabit.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung, apa yang bermain di fikiran saya adalah bagaimana untuk mementaskan teater muzikal ini.

"Kami sehingga merancang untuk menjalankan sesi dialog dan latihan lagu menerusi aplikasi Zoom. Bahkan, saya turut terfikir mahu merakamkan koreografi latihan untuk pelakon berlatih sendiri.

"Sehingga kini, hampir kesemua pelakon sudah arif dengan babak dan menghafal kesemua lagu-lagu yang ada kerana kami sudah menjalankan latihan sejak Disember 2019 lagi," katanya.

Bagaimanapun, Tiara tidak menolak bahawa pasukannya masih perlu menjalankan latihan secara fizikal dan itu menjadi antara kekangan besar.

"Kami masih perlu lakukan latihan bersama secara fizikal sebelum naik ke pentas. Kami juga sudah menyiapkan rekaan pentas, kandungan digital, kostum, props dan keperluan teknikal.

"Bahkan, kami juga sudah melabur untuk beberapa peralatan seperti pelayar media dan projektor sebagai persediaan untuk pementasan pada Julai nanti," katanya.

Justeru, pihak Enfiniti kini masih dalam perbincangan mengenai tarikh yang sesuai untuk mementaskan teater PGL The Musical pada tahun hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 9:15 AM