SUSHANT Singh Rajput.
SUSHANT Singh Rajput.
Agensi

KEMATIAN mengejutkan aktor, Sushant Singh Rajput yang dipercayai akibat bunuh diri adalah satu kehilangan besar buat industri seni hiburan Bollywood.

Sehingga kini polis masih menyiasat punca kematian sebenar pelakon berusia 34 tahun itu apabila tiada sebarang nota terakhir ditinggalkan.

 "Polis Mumbai sedang menyiasat dan belum menemui sebarang catatan terakhir yang ditulisnya," kata jurucakap polis DCP Pranay Ashok.

Bagaimanapun menurut laporan Times Now, ada sumber polis Mumbai menyatakan Sushant dilaporkan menderita penyakit kemurungan kerana pihak polis ada menemui kertas perubatan dan pil anti-depresi di kediamannya di Bandra, Mumbai. 

"Polis akan menghubungi doktor Rajput dan mengambil keterangan untuk mengetahui jenis ubat apa yang diambil dan masalah sebenar dihadapinya," memetik laporan sumber.

Terdahulu aktor meningkat naik itu ditemui meninggal dunia di kediamannya di Bandra, semalam.

Rajput memulakan karier lakonan pada 2008 dengan membintangi telefilem Kis Desh Mein Hai Meraa Dil.

Sementara itu, aktres ternama Priyanka Chopra menzahirkan rasa sedih atas kematian yang amat mengejutkan. 

Katanya, dia percaya selama ini Sushant pasti menderita dan mendoakan agar rohnya tenang. 

"Saya terkejut. Anda pasti sangat menderita. Saya harap anda tenang di mana sahaja anda berada kawan. Anda pergi terlalu cepat. 

" Saya tidak akan melupakan perbualan kita mengenai astrofizik. Takziah saya ucapkan kepada keluarga dan semua orang yang bersedih atas kehilangan besar ini, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 9:02 AM