NEELOFA menubuhkan pertubuhan kebajikan pertamanya yang dinamakan Pertubuhan Kasih Neelofa. FOTO Arkib NSTP & IG Neelofa
NEELOFA menubuhkan pertubuhan kebajikan pertamanya yang dinamakan Pertubuhan Kasih Neelofa. FOTO Arkib NSTP & IG Neelofa
Najiy Jefri

USAHAWAN dan selebriti popular tanah air, Neelofa menubuhkan pertubuhan kebajikan pertamanya yang dinamakan Pertubuhan Kasih Neelofa. 

Neelofa berkata, idea itu tercetus beberapa tahun lalu dan dia percaya Pertubuhan Kasih Neelofa bakal menjadi platform terbaik untuk dirinya terbabit dengan masyarakat secara total. 

"Saya sudah lama berhajat untuk membangunkan sebuah pertubuhhan demi membantu golongan yang memerlukan. Namun, saya tidak mahu ia berjalan tanpa membabitkan saya secara keseluruhan. Saya mahu memberi fokus 100 peratus dan benar-benar mendalami masalah yang dihadapi masyarakat. 

"Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di Twitter, saya akan cuba mendekati individu itu dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan pendekatan seperti itu," katanya.

Menurut Neelofa, Pertubuhan Kasih Neelofa merangkumi tiga teras utama iaitu keagamaan, kemasyarakatan dan bantuan untuk golongan kurang bernasib baik. 

"Teras keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan program keagamaan. Manakala untuk teras kemasyarakatan, kami akan cuba mendekati komuniti dengan melaksanakan program-program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan sukarelawan. 

"Bagi teras bantuan untuk golongan kurang bernasib baik pula, kami memfokuskan kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

"Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan lebih rapat, mendengar keluhan dan masalah mereka. Kemudian cuba menyelesaikan atau meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti-aktiviti amal," katanya.

Selain Neelofa, Pertubuhan Kasih Neelofa diterajui bersama ibu, ibu saudaranya, Ustaz Azam dan ia adalah pertubuhan peringkat kebangsaan.

Sempena kedatangan Aidiladha nanti, Qurban Kasih Neelofa adalah aktiviti pertama yang akan dilancarkan di bawah Pertubuhan Kasih Neelofa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 6:06 PM