HANS ISAAC.
HANS ISAAC.
Najiy Jefri

 

BEKAS Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac menepati janjinya apabila gaji dan elaun diterima sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu disalurkan kepada penggiat seni belakang tabir yang terjejas dari segi kewangan akibat penularan pandemik Covid-19.

Hans berkata, seramai 80 individu menerima sumbangan wang ringgit dan  barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka yang berdepan situasi sukar ketika ini.

"Saya sudah dengar cerita mereka, memang sekarang masa yang sukar buat mereka. Ini masanya untuk kita bersama , kita perlu saling membantu antara satu sama lain.

"Saya akan cuba bantu apa yang termampu. Kita semua perlu bantuan dari masa ke semasa," katanya dalam satu hantaran di Instagram semalam.

Terdahulu Hans nekad 'memulangkan' semua gaji dan elaun diterima sepanjang 13 bulan memegang jawatan itu kepada industri penerbitan filem dan drama.

Hans berkata, wang itu akan disalurkan kepada semua penggiat seni belakang tabir yang terjejas dari segi kewangan akibat penularan pandemik Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), baru-baru ini.

Hans yang dilantik menjadi Pengerusi Finas pada 8 April tahun lalu ditamatkan kontrak daripada jawatan itu pada 23 Mei lalu.

Tempat Hans digantikan dengan Zakaria Abd Hamid yang juga aktivis masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 1:31 PM