Wany Kayrie (kanan) membawa watak Dayang Senandung.
Wany Kayrie (kanan) membawa watak Dayang Senandung.


"JALAN cerita drama ini bukan menghina, sebaliknya mendaulatkan orang berkulit hitam," kata penerbit Zeel Production Sdn Bhd, Fadzil Teh mengenai kekecohan drama Dayang Senandung yang didakwa mendiskriminasi warna kulit.

Fadzil ketika dihubungi berkata, watak Dayang Senandung sejak dulu lagi sudah dipaparkan sebagai seorang wanita berkulit hitam selain drama itu mendapatkan kelulusan daripada RTM untuk menjalani penggambaran.

"Saya akan teruskan penggambaran drama ini kerana idea dan kertas keja drama 13 episod ini mendapat kelulusan RTM untuk slot drama-drama dongeng.

"Ketika menjalani proses 'pitching' di RTM, kami mendapat 'lampu hijau' untuk drama ini ditayangkan. Tiada soal menghina sesiapa sebaliknya drama ini sarat dengan pelbagai mesej.

"Kalau saya dikatakan rasis kerana menerbitkan drama ini lebih baik saya ambil pelakon berkulit gelap seperti Haneesya Hanee berlakon, tapi drama ini saya memilih Wani Kayrie untuk dimekap menjadi gelap," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fadzil, perkara ini menjadi panas apabila isu diskriminasi warna kulit hangat diperkatakan secara global selepas lelaki kulit hitam, George Floyd meninggal dunia akibat kekerasan polis di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

"Kena tengok dulu drama ini baru menilai adakah jalan ceritanya memberi gambaran buruk kepada penonton. Saya sedar mungkin hal ini berlaku apabila di Amerika Syarikat kini aktif dengan kempen Black Lives Matter yang memperjuangkan isu penindasan terhadap orang kulit hitam.

"Setakat ini saya belum menerima sebarang maklum balas daripada RTM. Saya harap isu ini tidak diperbesarkan," katanya.

Terdahulu, lebih 3,000 pengguna menurunkan tandatangan menyokong petisyen dalam talian bagi mendesak penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd (Zeel) dihentikan serta-merta atas dakwaan mendiskriminasi warna kulit.

Kekecohan bermula dipercayai selepas Wani Kayrie yang memegang watak Dayang Senandung memuat naik klip video tariannya di aplikasi TikTok.

Susulan video itu, isu membabitkan Dayang Senandung menjadi polemik dalam kalangan warga maya hari ini. Antaranya apabila ia dipaparkan sebagai wanita kulit hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 6:48 PM