X
AZLEE. FOTO Azlee Khairi
AZLEE. FOTO Azlee Khairi
Norhayati Nordin

PELAKON, Azlee Khairi yakin takkan ada perkara berbangkit akan timbul di antaranya dan bekas isteri, Dayang Norlelawati Puteh, 36,  selepas dia mendedahkan status sebagai duda.

Azlee, 30, berkata dia juga sudah memikirkan semasak-masaknya sebelum membuat pengakuan itu kepada media kerana enggan terus berteka-teka.

"Saya tahu, sebelum ini tidak secara terang-,terangan mengaku status sebagai duda. Bagaimanapun, dengan pengakuan dibuat itu harapnya, takkan ada lagi spekulasi berkaitan status sebenar saya.

"Apatah.lagi, saya sekarang memang menjalin hubungan cinta dengan Aniss. Jadi, saya fikir tindakan yang dibuat menerusi pengakuan itu adalah tepat," katanya kepada Harian Metro.

Azlee atau nama sebenar Azlee Khairi Zulah Hainee berkata dia percaya bekas isterinya sangat memahami apa yang sudah berlaku di antara mereka sebelum akhirnya berpisah.

"Saya yakin dia (bekas isteri) tahu apa yang terjadi dalam perhubungan kami. Namun, sekiranya ada juga perkara berbangkit hendak dibuatnya selepas ini, saya tak boleh buat apa.

"Bagaimanapun, saya tahu dia bersikap matang. Saya tetap doakan dia bahagia dan gembira dengan kehidupannya yang dijalani kini," katanya.

Mengulas perhubungan.dengan Aniss, kata Azlee dia bercadang mendirikan rumah tangga dengan wanita itu sekitar lima tahun lagi selepas kewangan dan kerjaya seninya betul-betul stabil.

Terdahulu, Azlee yang kini dikenali menerusi drama Maaf Tak Indah dan Seadanya Aku di TV3 mendirikan rumah tangga dengan Dayang Norlelawati yang berasal dari negara Brunei pada 2014. 

Selepas mendirikan rumah tangga, Azlee terus hilang dari radar industri hiburan tanah air ketika namanya di puncak populariti kerana mengikut Dayang Norlelawati menetap di Brunei. Namun, mereka tidak dikurniakan anak.

Pun begitu, Azlee mula aktif kembali dalam kerjaya lakonan pada awal tahun ini dan dia masih mendapat peluang menjadi 'hero' dalam drama. Kini, Azlee sibuk menjalani penggambaran drama Derhaka Cinta Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2020 @ 12:56 PM