Ben ketika menjalani sesi latihan menyanyi bersama DJ Dave. FOTO ihsan DJ Dave
Ben ketika menjalani sesi latihan menyanyi bersama DJ Dave. FOTO ihsan DJ Dave
Sudirman Mohd Tahir


KISAH penyanyi era 1980-an, Ben Nathan pernah mencuri perhatian masyarakat apabila tular dia hidup sebagai gelandangan selama 24 tahun.

Ketika itu Ben kerap dilihat di sekitar Jalan Travers, Pasar Seni dan Brickfields sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemeriksaan lanjut atas usaha presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave.

Sejak dua tahun lalu, Ben yang popular menerusi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati ditempatkan di rumah kebajikan di Petaling Jaya.

Presiden YKAT, Datuk DJ Dave ketika ditemui berkata, Ben kini dalam keadaan okay dan masih dalam proses pemulihan.

PENGERUSI Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (YKAT), Datuk DJ Dave.  FOTO Aizuddin Saad
PENGERUSI Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (YKAT), Datuk DJ Dave. FOTO Aizuddin Saad

"Ben masih dalam pemulihan. Dia masih dalam rumah kebajikan di Petaling Jaya. Dia sudah dua tahun dalam rumah itu. Keadaannya okay, okay lah.

"Cuma sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tak pergi melawat. Malah empat ke lima bulan kebelakangan ini dia masih okay. Cuma diam perlahan dari segi berfikir dan menjadi orang yang sangat 'simple' dan bukan macam dulu lagi.

"Di sana dia sangat terjaga. Tak boleh keluar ke mana-mana. Sekarang saya sedang berbincang dengan keluarganya bolehkah mereka menjaga dia. Perkara ini saya sudah cakap pada keluarga dan adik lelaki dia dan kita bincang," katanya.

Dave yang ditemui pada sesi kunjungan mesra ke rumah beberapa artis yang mendapat bantuan Program Perumahan Rakyat (PPR) di PPR Sri Aman, Kuala Lumpur hari ini berkata, pihaknya juga sedang dalam perancangan untuk melancarkan single terbaharu Ben.

"Kami nak lancarkan single dia dan sedang buat persiapan sekarang. Lagu dari Jakarta yang mana hasil ciptaan rakan kepada Tan Sri Jojo.

"Lagu berentak balada ini sudah siap dirakam. Kami masih cari tarikh sesuai untuk lancar. Mungkin selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir," katanya.

Dave berkata, sepanjang tempoh dua tahun lalu, Ben kerap dibawa ke pejabat YKAT bagi menjalani latihan nyanyian.

"Dua tahun itu, dia datang pejabat dan saya ajar dia menyanyi untuk lagu baru. Dia okay. Insya Allah kita akan keluarkan lagu dia.

"Saya juga tidak sabar untuk serahkan kunci rumah di PPR Sri Aman ini yang sudah diperoleh sejak dua tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 7:33 PM