MOHALIM (tiga dari kanan) bersama anaknya Salam (kiri), Syahidin (dua dari kiri), Salihin (dua dari kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHALIM (tiga dari kanan) bersama anaknya Salam (kiri), Syahidin (dua dari kiri), Salihin (dua dari kanan). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

KE mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Peribahasa itu menggambarkan tiga anak lelaki pemain bass Iklim2020, Mohalim yang mengikuti jejak bapanya yang bergiat dalam bidang muzik.

Malah, Muhamad Salam Mohamad Salim, 25, dan dua adik kembarnya, Muhamad Salihin dan Muhamad Syahidin, 24, mempunyai dua single bertajuk Hanya Kamu Saja dan Bersama Selamanya ciptaan mereka sepenuhnya.

Salam sebagai pemain gitar utama, Salihin (bass) dan Syahidin (vokalis) bersama dua rakan iaitu Eyman (gitar kedua) dan Aiman (dram) membentuk Herow Band yang ditubuhkan sejak 2015.

Syahidin berkata, dia bersama abangnya meminati bidang muzik sejak berusia lima tahun dan mula mempelajari alat muzik termasuk gitar sejak berusia belasan tahun.

"Ayah (Mohalim) ialah idola kami dan sejak kecil kami menyaksikan persembahan ayah bersama kumpulan Iklim sekali gus menarik minat untuk mengikuti jejak langkah ayah.

"Kebetulan pula ayah mempunyai studio rakaman sendiri iaitu MAP Muzik seterusnya mendorong dan memberi laluan kepada kami untuk mencipta serta merakam lagu sendiri.

"Sekarang dua single kumpulan kami sudah dilancarkan di Youtube dan mendapat sambutan baik," katanya ketika ditemui di Studio MAP Muzik di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu.

Katanya, mereka bertiga juga berasa seronok apabila berkarya di bawah bimbingan bapanya itu.

"Walaupun ayah jauh lebih berpengalaman, namun kami sentiasa bertukar-tukar pandangan dalam menghasilkan karya berkualiti dan mengikut peredaran semasa.

"Sememangnya ayah banyak membantu dan mengajar kami mengenai selok belok mencipta dan merakam lagu di studio," katanya.

Sementara itu, Mohalim berkata, dia tidak pernah memaksa anak-anaknya untuk menceburi bidang muzik.

"Saya memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih kerjaya masing-masing, namun tiga daripada lima anak meminati bidang muzik.

"Sebagai bapa saya hanya mampu memberi bimbingan dan selebihnya bergantung kepada kehendak serta hala tuju mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:57 PM