BENJAMIN (kiri) dan datuknya, Elvis.
BENJAMIN (kiri) dan datuknya, Elvis.
Agensi

TRAGEDI terus menyelubungi keluarga legenda rock 'n roll terkenal, Elvis Presley apabila cucunya dikenali Benjamin Keough, meninggal dunia pada usia 27 tahun. 

Benjamin, anak lelaki tunggal Lisa Marie Presley difahamkan menembak dirinya sendiri.

Berita kematian Benjamin  diumumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pengurus ibunya, Roger Widynowski, semalam. 

Menurut Roger Widynowski,  Lisa Marie sangat terkesan atas  kematian anak lelaki kesayangannya.

"Dia sangat sedih, terpukul dan hatinya hancur, tetapi berusaha menguatkan diri demi dua anak kembarnya yang berusia 11 tahun, dan puteri sulungnya Riley (Keough)," katanya. 

Benjamin ditemui meninggal di sebuah rumah di Calabasas, California akibat mengalami kecederaan parah. 

Polis menemui luka tembakan pada tubuh Benjamin dan membuat kesimpulan tembakan itu dilakukannya sendiri. 

Pada masa sama, Jabatan Syerif Los Angeles mengeluarkan kenyataan di Facebook, memberitahu pihaknya masih menyiasat kematian seorang lelaki kulit putih di Calabasas pada Ahad (semalam).

Mayat terbabit ditemui mempunyai kesan tembakan di bahagian atas anggota badannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Bagaimanapun, polis tidak mendedahkan identiti mangsa dengan lebih lanjut. 

Benjamin adalah anak Lisa Marie dari pernikahannya dengan pemuzik Danny Keough.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 4:11 PM