AYU Damit. FOTO Aswadi Alias
AYU Damit. FOTO Aswadi Alias
Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI Ayu Damit mengakui hakikat bahawa muncul kerap di televisyen, tidak semestinya memberi banyak rezeki buatnya dalam kerjaya nyanyian. 

 Sedar, walaupun dia jarang muncul di TV, namun Ayu bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus hingga kini.

"Ia hakikat yang benar. Buat apa kalau keluar TV selalu, tapi di luar tak ada 'job' (tawaran kerja)," katanya kepada Harian Metro. 

Ayu juga berkongsi pengalamannya sebelum ini yang kerap muncul di TV ketika awal pembabitan di dalam industri hiburan.

"Dulu, ada satu ketika di mana saya kerap muncul di TV tapi 'job' di luar tak banyak pun. Sekarang Alhamdulillah, walaupun tak banyak sangat tapi tawaran persembahan sentiasa ada," katanya. 

Menurut Ayu lagi, dia juga tak gentar keluar sendiri untuk mencari ruang dan peluang supaya dapat tampil sebagai penyanyi di pelbagai acara hiburan.

"Saya rajinkan diri untuk keluar dan mencari peluang. Alhamdulillah, kalau ada apa-apa acara yang memerlukan saya, sudah tentu tampil buat persembahan. 

"Malah, ada juga di antara penganjur yang dah bayar deposit. Cuma, saya kena tunggu tarikh untuk terbabit dalam beberapa acara itu," katanya. 

Terbaharu, Ayu membuka restoran miliknya di ibu kota yang menampilkan pelbagai juadah enak dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan negeri kelahirannya, Sabah. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 4:49 PM