PENGERUSI MAIWP Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee (dua dari kiri) menyampai sijil kepada ikon Jom Celik Al-Quran, Adam Corrie (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Jom Celik Al-Quran di Bangunan Perkim hari ini. FOTO BERNAMA
PENGERUSI MAIWP Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee (dua dari kiri) menyampai sijil kepada ikon Jom Celik Al-Quran, Adam Corrie (dua dari kanan) pada majlis pelancaran Jom Celik Al-Quran di Bangunan Perkim hari ini. FOTO BERNAMA
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Adam Corrie Lee Abdullah meluahkan rasa terkejut apabila dilantik sebagai duta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan ketua ikon program Jom Celik Al-Quran hasil kerjasama MAIWP dengan Institut Pengajian al-Quran (IPaQ).

Adam ketika ditemui berkata, itu adalah tanggungjawab besar buatnya dan dia akan memegang amanah itu sebaik mungkin.

"Tanggungjawab ini besar dan berat buat saya, namun saya akan pegang amanah ini sebaik mungkin. Sebelum ini, saya bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) Kembara Iman pernah mengadakan program membaca Al-Quran di Sabah dan kali ini, saya akan bentangkan kertas kerja untuk jalinkan kerjasama antara Kembara Iman dengan program Jom Celik Al-Quran," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia akan membawa program Jom Celik al-Quran bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi juga Sabah dan Sarawak.

"Insya-Allah, antara sesi yang kami akan adakan adalah untuk belajar dan membaca al-Quran. Tak perlu pandai serta-merta, tapi sedikit sebanyak membantu mereka yang ingin belajar," katanya.

Menurut pelakon filem KL Gangster itu, dia berharap agar lebih ramai orang terbuka hati untuk belajar membaca al-Quran.

"Kalau nak hafal 30 juzuk bukanlah satu kerja yang mudah. Jadi, saya terus membaca dan saya harap, ia dapat menjadi inspirasi buat ramai orang di luar sana," katanya.

Hampir enam tahun bekerjasama dengan MAIWP, Corrie adalah antara artis yang kerap menyertai pelbagai forum anjuran majlis agama itu.

Selain Corrie, beberapa artis turut dipilih sebagai ikon program Jom Celik al-Quran antaranya Heliza Helmi, Hazwani Afiqah, Lisdawati, Zila Bakarin dan Ustaz Rushdi Al-Jauhari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 4:27 PM