HANIE Soraya kembali beraksi sebagai penyanyi selepas tamat pengajian dalam bidang perubatan. FOTO Rohanis Shukri
HANIE Soraya kembali beraksi sebagai penyanyi selepas tamat pengajian dalam bidang perubatan. FOTO Rohanis Shukri
Syafil Syazwan Jefri

PEMBABITAN pada program Big Stage membuka peluang dan ruang baharu buat penyanyi, Hanie Soraya untuk kembali beraksi sebagai penyanyi.

Hanie yang kini bergelar doktor bagaimanapun tidak segan sekiranya masih dilabel sebagai 'Budak Baru Nak Up' atau artis BBNU walaupun sudah enam tahun berada dalam industri muzik tanah air.

Bagi Hanie, itu semua adalah gelaran yang menjadi cabaran buat dirinya untuk terus berkarya dan meletakkan namanya dalam industri seni suara.

"Sebelum ini, saya berhenti sekejap daripada industri seni sebab memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran saya di Mesir dalam bidang perubatan.

"Kini, tumpuan saya adalah dalam program Big Stage ini dan tentunya, peluang kedua ini saya ambil sebagai ruang untuk saya sekali lagi mencuba nasib," katanya.

Ditanya mengenai pendapatnya dalam berhadapan perkembangan industri seni hari ini berbanding enam tahun lalu, Hanie mengakui banyak perbezaan yang dirasakan.

"Kalau dulu, platform media sosial tidak sehebat hari ini. Jadi, saya sendiri dah bersiap sedia untuk berdepan dengan perkembangan semasa, terutamanya rencah yang berlaku dalam media sosial," katanya.

Satu lagi cabaran yang dinanti-nantikan Hanie dalam program realiti itu adalah, genre lagu yang akan dibawakan.

"Setiap minggu, tentunya akan ada genre atau tema berbeza dan itulah cabaran yang perlu disahut oleh saya.

"Platform ini bagus sebenarnya kerana secara tak langsung, ia dapat mencungkil bakat terpendam peserta kerana mungkin ada yang dikenali sebagai penyanyi untuk satu genre sahaja," katanya.

Walaupun menyepi selama beberapa tahun, Hanie bersyukur kerana masih lagi memiliki kelompok peminat yang tetap setia menyokong kerjaya seninya.

"Walaupun dah lama menyepi, saya juga terkejut apabila ada lagi peminat yang meminati dan mengenali saya.

"Kelompok peminat saya tak besar, tapi ada dan mereka tetap terus menyokong saya. Jadi, apabila mereka dapat tahu saya menyertai Big Stage, rata-rata meluahkan rasa teruja dan gembira," katanya.

Selain Hanie, program Big Stage juga disertai barisan peserta lain antaranya Qody Rani, Amir Hassan, Sandra Dianne dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:15 AM