ADLI ketika berkhidmat di Selatan Lubnan. FOTO ihsan Adli Juvana
ADLI ketika berkhidmat di Selatan Lubnan. FOTO ihsan Adli Juvana
Ahmad Rabiul Zulkifli


"ALHAMDULILLAH semua kenalan di sana (Lubnan) selamat namun mereka sekarang masih trauma dengan kejadian itu," kata Adli Juvana ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Pelakon, Adli Juvana atau nama sebenarnya Adli Zil Ikram Abu Bakar, 35, dari Kampung Tempurung, Kemaman, pernah berkhidmat dalam misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Selatan Lubnan pada 2016 hingga 2017.

Beliau turut melahirkan rasa simpati dan sedih dengan kejadian letupan yang berlaku di Beirut, Lubnan.

"Saya sendiri masih terkejut dengan kejadian itu dan berasa sangat gerun apabila melihat beberapa rakaman letupan itu yang tular di media sosial.

"Susulan kejadian itu saya terus menghubungi kenalan di sana melalui media sosial. Alhamdulillah semua kenalan selamat.

"Mereka sendiri juga tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku dan terkejut malah masih trauma," katanya.

Tambahnya, dia berkhidmat sebagai Pasukan Pengaman PBB di Selatan Lubnan selama setahun dan mempunyai banyak pengalaman manis yang dilalui sepanjang berkhidmat.

"Apa yang saya suka mengenai orang Lubnan kerana sikap ramah dan baik hati mereka kepada orang luar.

"Mereka mudah mesra oleh itu tidak hairanlah saya mempunyai ramai kenalan di sana dan sebahagiannya masih berhubung sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, kawasan Beirut itu ialah kawasan yang aman dan tidak berlaku pergolakan sepanjang dia berkhidmat di negara berkenaan.

"Kerap juga saya ke bandar itu malah beberapa kali berkunjung ke pelabuhan berkenaan kerana pelbagai tugasan.

"Sekelip mata sahaja kawasan yang pesat membangun itu lenyap kerana letupan berkenaan," katanya.

Bercerita mengenai perkembangan bidang seninya katanya, dia sedang menjalani dua pergambaran drama rantaian bertajuk Ryanaralin bersama Zul Arifin dan Teratak Cinta selain aktif menjadi pemandu e-hailing di sekitar Lembah Klang dan juruhebah majlis perkahwinan dan program.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua letupan kuat menggegarkan Beirut, kira-kira 6 petang Selasa lalu (waktu tempatan).

Berita berkaitan:

  • 16 kakitangan pelabuhan ditahan
  • Bantuan antarabangsa tiba di Lubnan
  • Letupan Lubnan. Angka korban meningkat 113 orang
  • Ammonium nitrat punca letupan Lubnan
  • Lubnan akan cari dalang letupan
  • Letupan Lubnan: Pemimpin dunia rakam takziah
  • Letupan Lubnan, 'serangan mengerikan' - Trump
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 12:04 PM