MINAT Wani terhadap seni suara tidak pernah pudar walaupun sibuk berniaga. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
MINAT Wani terhadap seni suara tidak pernah pudar walaupun sibuk berniaga. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN kerjaya nyanyiannya masih mendapat tempat di hati peminat, penyanyi Wani Syaz, 22, tetap ligat berniaga.

Apatah lagi, dia bersama keluarganya mengusahakan perniagaan restoran dikenali sebagai Beezer Box di Batu Pahat, Johor.

Wani berkata membantu keluarga berniaga makanan pun sudah sebati dengan dirinya sejak kecil selain aktif menggilap bakat nyanyian.

"Saya memang suka berniaga, meskipun dugaannya perlu sabar menghadapi ragam pelanggan dan persaingan.

"Pada saya, itulah adat berniaga dan kena sentiasa yakin dengan rezeki ditetapkan Allah buat kita.

"Ditambah pula keluarga saya pun sudah lama berniaga di Batu Pahat ini dan sambutan daripada pelanggan kami sangat baik," katanya.

Kata pemilik nama sebenar Nursyazwani Selamat ini, akibat penularan pandemik Covid-19 pada Mac lalu, perniagaannya turut terjejas.

"Bagaimanapun, saya tak mudah patah semangat. Bagi saya, pasti ada jalan terbaik untuk pertahankan perniagaan.

"Malah, sebenarnya dalam berniaga ini kena kreatif termasuk sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan disediakan.

"Jadi, saya ambil pendekatan menukar corak perniagaan dengan mula menerima tempahan makanan secara dalam talian," katanya.

Mengakui minat nyanyian tidak pernah pudar walaupun sibuk berniaga, anak bongsu dalam keluarga ini berkata dia juga bersyukur lagunya diterima baik pendengar.

"Alhamdulilah, saya berterima kasih dengan sokongan yang diberikan pendengar dan peminat terhadap kerjaya nyanyian saya.

"Walaupun kurang terkait cerita sensasi, setidak-tidaknya setakat ini lagu saya mendapat peluang diterima baik peminat," katanya.

Hingga kini, tak dinafikan Wani cukup dikenali dengan lagu seperti Pendusta Cinta, Gemala, Alhamdulillah dan Lepaskan.

Malah, yang pasti nyanyian Wani lebih menyerlah secara duet dan dia pernah berganding dengan penyanyi seperti Juzzthin. dan W.A.R.I.S.

Bahkan, Wani juga pernah menyahut cabaran menyertai pertandingan nyanyian Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) pada 2018 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 6:45 AM