Georgie Joseph


BEKAS peserta program realiti Imam Muda dan pendakwah bebas, Syed Faris, 34, memohon doa orang ramai supaya kemelut dengan bekas isterinya Nur Hidayu Rosly, 33, dapat diselesaikan dengan baik.

Syed Faris ketika ditemui selepas prosiding tuntutan nafkah daripada Nur Hidayu terhadap anak-anak mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya hari ini turut berharap masa depan anak-anaknya lebih terjamin.

Menurutnya, proses sulh yang berlangsung hari ini dilanjutkan ke 24 Ogos ini.

"Insya-Allah akan ada perbincangan lagi selepas ini sebab hari ini (proses sulh) berlangsung agak drastik dan terlalu cepat. Jadi, akan ada lagi perbincangan selepas ini untuk mencapai kesepakatan bersama.

"Saya harap semua doakan supaya rancangan dan masa depan anak-anak lebih terjamin. Hari ini prosiding memang sepenuhnya berkenaan anak-anak sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Syed Faris enggan mengulas mengenai semua dakwaan bekas isterinya kerana beranggapan akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Tak ada apa-apa. Perkara ini akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Nur Hidayu mahu menuntut hak lima anak mereka yang berusia antara lapan bulan sehingga 12 tahun selepas bercerai dengan Syed Faris pada 28 Mei lalu.

Menurut Nur Hidayu, tuntutan hadhanah yang dibuat kerana dua anaknya masih kecil serta seorang berusia tiga tahun, manakala yang kecil baru berusia lapan bulan dan masih menyusu.

Dalam temubual pada 30 Julai lalu, Nur Hidayu mendakwa bekas suaminya itu mengugut untuk mengambil dua anak mereka yang masih kecil.

Kisah Nur Hidayu menjadi perhatian warganet apabila membuat pendedahan diceraikan Syed Faris yang juga finalis Imam Muda musim kedua pada 2014 itu selepas berkahwin kali kedua secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 18 Mac lalu.

Nur Hidayu diceraikan dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 28 Mei lalu iaitu dua hari selepas menyambut ulang tahun ke-13 perkahwinan mereka.

Sepanjang 13 tahun berkahwin, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata iaitu Sharifah Aisyah, 12; Syed Husayn, 10; Sharifah Fatimah, 5; Syed Muawiyyah, 3; dan Sharifah Safiyyah, lapan bulan.

Malah, sepanjang perkahwinan itu juga, Nur Hidayu pernah mengalami keguguran sebanyak empat kali.

IMAM Muda Syed Faris hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling atas tuntutan anak kepada bekas isteri, Nur Hidayu Rosly. FOTO Khairul Azhar Ahmad
IMAM Muda Syed Faris hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling atas tuntutan anak kepada bekas isteri, Nur Hidayu Rosly. FOTO Khairul Azhar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 3:57 PM