BUNGA Isme. FOTO IG
BUNGA Isme. FOTO IG
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI rap, Bunga Isme, 20, yang pernah meraih perhatian apabila video nyanyian rap dengan imej berbaju kurung dan bertudung dikongsi portal antarabangsa New York Times dan Bloomberg tahun lalu menyimpan impian untuk bekerjasama dengan Yuna yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat.

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari berkata, dia pernah menerima ucapan tahniah daripada Yuna ketika nama dan video persembahannya dikongsikan portal berita antarabangsa itu.

"Tahun lalu, selepas nama saya disebut dalam artikel dan video persembahan saya dikongsikan dua portal antarabangsa itu, Yuna ada mengucapkan tahniah kepada saya.

"Dia juga mengikuti akaun Instagram saya dan sejujurnya, saya ada menyimpan impian untuk bekerjasama dengannya," katanya.

Menurut Bunga, dia menantikan masa yang sesuai untuk meluahkan hasratnya itu.

"Sekarang saya baru mula nak menapak dan perjalanan saya masih jauh lagi. Tapi, apabila tiba masanya, saya akan luahkan hasrat saya kepadanya dan ajak dia untuk bekerjasama," katanya.

Terbaru, Bunga membintangi filem TV (FTV) arahan Kabir Bhatia berjudul Aku, Bunga di samping Naim Daniel, Ben Amir dan Aman Graseka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 1:07 PM