ELLIE Suriati. FOTO Arkib NSTP
ELLIE Suriati. FOTO Arkib NSTP
Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON dan pengarah, Ellie Suriaty, 50, sentiasa terbuka menerima kecaman daripada masyarakat yang tidak senang dengan tindakan dilakukannya termasuk menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengenakan lesen untuk pemilik saluran YouTube kerana golongan terbabit menjana pendapatan lumayan daripada platform terbabit.

Ellie yang juga Presiden Gabung Anak Seni berkata, dia tak kisah jika dikritik atau dikecam kerana pengakhirannya, penggiat seni juga yang menjadi mangsa keadaan.

"Nak kecam saya, silakan. Kami ada alasan tersendiri kenapa menggesa kerajaan untuk melaksanakan perkara itu. YouTuber mungkin kata boleh buat pelbagai kandungan atas alasan bebas bersuara. Apabila ada lesen, mereka tak boleh buat kandungan sesuka hati seperti berunsur lucah kerana ia akan dikawal," katanya.

Sebelum ini, Ellie pernah berdepan kontroversi apabila terbabit dengan kempen menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sehingga berdepan kecaman masyarakat.

Malah, dia turut menerima kecaman daripada rakan-rakan artis termasuk diboikot.

"Saya orangnya tak boleh duduk diam. Kena boikot itu biasa, tapi dah tak kisah. Saya memang jenis orang yang selesa dengan diri sendiri. Saya ada pendirian dan itu hak saya kerana kita mengundi.

"Namun masih ada juga yang menyokong. Ketika berkarya, saya susah untuk dikritik kerana kerja saya agak sempurna. Namun, apabila bersuara dalam politik memang orang benci. Suami (pelakon Azri Iskandar) tak boleh terima dan saya kata janganlah baca komen-komen. Itu kisah dulu dan sekarang mungkin berbeza," katanya.

Selain itu, Ellie turut mengalami banyak kerugian apabila hilang tawaran bekerja selama 22 bulan.

"Dalam tempoh itu hanya ada dua tawaran iaitu bulan Januari berlakon filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof dan filem Susuk arahan Opie Zami pada November ini," katanya.

Ellie berkata, sebelum aktif dengan kempen menyokong Najib, dia berlakon dalam drama bersiri dan bayarannya okay.

"Waktu itu okay. Azri pun terbabit sama dan dari situ kami mula menyimpan wang. Namun, apabila dua tahun tidak mendapat apa-apa tawaran, memang termenung jadinya. Bagi saya, jika tak melalui proses ini, saya masih rasa selesa. Ini bagus untuk kekuatan dalaman," katanya.

Ellie mengakui dia dimarahi suami yang terkena tempias atas sokongan yang diberikannya kepada pemimpin Umno.

"Untuk beberapa bulan tanpa tawaran memang teruk juga. Dia marah saya dan suruh berhenti tapi saya tak boleh. Yang terbaru pun (keputusan mahkamah terhadap Najib) dia tak bagi saya terbabit tapi saya pergi juga dan dia faham ini memang semangat saya.

"Saya tak boleh berhenti. Semasa Pakatan Harapan memerintah, ada seorang penerbit yang juga kawan Azri menghantar pelakon lelaki untuk sesi latihan berlakon di rumah saya.

"Saya tidak mengambil gambar untuk dimuatnaik di laman sosial kerana tidak mahu pelakon terbabit dikecam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 4:33 PM