IKA Nabella.
IKA Nabella.
Sudirman Mohd Tahir


"SUAMI saya sudah 70kg (kilogram). Jadi, saya dah tak bersuamikan peti ais macam yang anda kutuk dulu," kata pelakon, Ika Nabella mengenai fizikal terkini suaminya, Muhammad Zaid.

Ika, 31, atau nama sebenarnya Ika Nabila Abdul Rahim berkata, dia tidak menjangka suaminya boleh menjadi 'slim' dan berjaya menurunkan berat badan dari 100kg.

Malah, Ika mengakui dia sangat bangga menjadi isteri kepada ahli perniagaan itu.

"Saya tidak sedar dia mempunyai berat 100kg ketika kami berkahwin empat tahun lalu. Dulu waktu bercinta saya buat senaman dengan jurulatih peribadi dan dia temankan saja. Patutlah dia tak turut serta kerana dia bersaiz besar. Cepat penat dan mengah agaknya.

"Sumpah tak sedar dia 'bambam'. Cinta itu buta. Saya nampak dia kacak saja. Patutlah ada orang kutuk saya cakap duit punya pasal, lelaki gemuk pun saya sanggup kahwin.

"Namun, saya tak marah, tapi saya geli hati. Sebenarnya saya tak sangka dia boleh kurus. Dulu saya selalu cakap pada dia macam mana rupa kalau kurus, mesti lagi 'hot'," katanya.

Tidak hanya menurunkan berat badan sebanyak 30kg, suaminya turut berjaya menduduki tempat kedua menawan puncak Gunung Kinabalu beberapa hari lalu.

"Dia mendapat tempat kedua daripada 70 pendaki yang berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu. Tahniah sebab sekarang kami berkongsi hobi yang sama. Anda boleh teka tak macam mana dari saiz XL boleh tukar ke size S?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 4:37 PM