ERNIE ZAKRI
ERNIE ZAKRI
Norhayati Nordin


PENYANYI Ernie Zakri, 28, mendedahkan dia dan tunangnya yang juga penyanyi, Syamel, 27, mula serius dalam perhubungan mereka sejak tahun lalu.

Ernie ketika ditemui berkata selepas empat tahun berkenalan rapat, dia dan Syamel akhirnya sedar dan yakin mereka saling mencintai.

"Apapun, selagi tiada ikatan sah seperti pertunangan ini, kami tak mahu mengaku. Bagi saya, biarlah kami umum apabila betul-betul sudah capai kata sepakat.

"Sekarang, kami berdua dalam persediaan membuat persiapan perkahwinan yang dijangka berlangsung awal tahun depan," katanya.

Mengulas mengenai majlis bahagia mereka, Ernie berkata, mereka akan mengadakan dua majlis persandingan bagi meraikan bersama keluarga dan saudara mara serta satu lagi untuk media bersama rakan artis.

"Apa yang pasti, majlis perkahwinan kami kena dirancang dengan sebaiknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana wabak Covid-19 ini.

"Kami tak mahu nanti wujud pula kluster SyamelErnie. Jadi, kami sangat hati-hati kerana tidak mahu ada masalah atau perkara lain yang timbul selepas itu," katanya.

Ditanya mengenai gandingan duet terbaharu mereka, Ernie berkata, perancangan memang ada dibuat selepas bekerjasama untuk lagu Aku Cinta.

"Lagu duetnya sudah ada, tapi kami tak rakam lagi. Belum duduk berbincang pun dan kemungkinan kami mahu melancarkannya pada majlis perkahwinan nanti.

"Kiranya, lagu itu akan jadi lagu tema untuk perkahwinan kami. Malah, melodi dan lirik lagunya pun 'sweet sweet' yang menggambarkan perasaan bahagia dan gembira," katanya.

Terdahulu, spekulasi hubungan cinta Syamel dan Ernie ditamatkan mereka dengan pengumuman mengikat pertunangan pada 15 Ogos lalu.

Majlis ringkas dan meriah itu berlangsung di kediaman Ernie dan pengumuman rasmi dibuat mereka secara bersama di Instagram masing-masing, sehari selepas acara pertunangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Ogos 2020 @ 6:16 PM