JOY REVFA
JOY REVFA
Syafil Syazwan Jefri


USAHAWAN kosmetik, Joy Revfa mengakui 'dilamar' pengikut wanita di Instagram dan diajak untuk bermadu selepas dia mengesahkan putus tunang dengan kekasihnya yang dikenali sebagai ZA.

Bagaimanapun, Joy menganggap tawaran atas dasar rasa simpati itu sebagai gurauan semata-mata.

"Memang ada yang mengajak untuk menjadi madu, tapi, saya anggap 'lamaran' itu sebagai gurauan mereka saja," katanya.

Joy sebelum itu mengambil keputusan untuk memutuskan pertunangannya dengan ZA selepas hampir 70 peratus persiapan perkahwinannya siap.

"Kami putus tunang sebab saya rasa tak serasi walaupun persiapan untuk perkahwinan sudah siap 70 peratus. Saya memang tak dapat nak teruskan dengan dia atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Joy yang juga bekas isteri penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun berkata, ZA tidak melakukan perkara tidak baik sehingga memaksanya memutuskan pertunangan itu.

"Bukan sebab dia jahat atau curang, tetapi saya sendiri yang putuskan secara baik. Saya juga bukan mendengar fitnah apa-apa mengenai latar belakang bekas tunang saya, tetapi memang hati saya tak dapat nak teruskan.

"Sebelum saya batalkan, saya lakukan solat istiqarah kerana takut kalau-kalau keputusan ini tidak tepat. Tapi, hati saya tetap tidak memilih dia," katanya.

Joy dan ZA mengikat tali pertunangan pada 14 Mac lalu dan dia tidak pernah mendedahkan wajah bekas tunangnya itu kerana tidak mahu diganggu orang luar.

Joy pernah berkahwin dengan Hafiz pada 1 Mei 2017 sebelum bercerai pada 25 Oktober tahun sama. Sebelum itu, dia berkahwin dengan ahli perniagaan dan dikurniakan cahaya mata, Arryan Firdaus, 6.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2020 @ 5:50 PM