Boseman hembus nafas terakhir di sisi isteri
Boseman hembus nafas terakhir di sisi isteri
Susunan Ridzuan Abdul Rahman


KEMATIAN pelakon Chadwick Boseman pada usia 43 tahun, sememangnya satu kehilangan besar kepada industri perfileman Hollywood.

Boseman yang mencapai kegemilangan dengan watak Black Panther menerusi Marvel Cinematic Universe, meninggal dunia pada Jumaat di rumahnya di Los Angeles akibat kanser kolon.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri dan keluarganya, termasuk meninggalkan seorang cahaya mata sebagai pewarisnya.

Terdahulu, media melaporkan Boseman disahkan menghidap kanser kolon tahap tiga kira-kira empat tahun lalu iaitu pada 2016.

Dia adalah pelakon Amerika yang terkenal dengan filem berkaitan ikon ternama kulit hitam seperti Jackie Robinson dan James Brown.

Boseman yang dilahir dan dibesarkan di Anderson, South Carolina Selatan memulakan kerjaya lakonan dengan watak kecil dalam sebuah drama pada 2003.

Dia bagaimanapun mula mencuri tumpuan selepas membawakan watak pemain besbol terkenal, Jackie Robinson menerusi filem 42 pada 2013.

BERSAMA isteri tercinta, Taylor Simone Ledward.
BERSAMA isteri tercinta, Taylor Simone Ledward.

Apatah lagi, Jackie Robinson pula menjadi orang Afrika Amerika pertama yang bermain di Major League Baseball (MLB) di era moden.

Kemudian, dia melakonkan watak James Brown dalam filem 'Get Up On' pula pada 2014 memainkan peranan sebagai penyanyi, penulis lagu, penari, pemuzik dan produser rakaman.

Malah, menerusi filem bergenre drama muzikal arahan Tate Taylor itu, watak Brown dilakonkan itu dipelbagaikan termasuk menjadi ketua kumpulan.

Menerusi filem Marshall, Boseman yang juga bekas graduan Unversiti Howard tampil sebagai Thurgood Marshall, seorang pengacara Amerika dan aktivis hak sivil.

Tokoh ternama itu pernah berkhidmat sebagai Hakim Bersekutu Mahkamah Agung Amerika Syarikat dari Oktober 1967 hingga Oktober 1991.

Menerusi filem Gods Of Egypt arahan Alex Proyas pada 2016, Boseman melakonkan watak Thoth, God of Wisdom yang genre menjurus aksi fantasi berdasarkan kisah dewa Mesir kuno.

Pembabitan Boseman dalam karya Marvel Cinematic Universe bermula sejak beberapa tahun lalu dalam filem seperti Captain America: Civil War (2016), Black Panther (2018), Avengers: Infinity War (2018) dan Avengers: Endgame (2019).

Melalui filem Captain America: Civil War, Boseman diberikan kepercayaan membawakan watak Kapten T'Challa sebelum muncul filem Black Panther, dua tahun kemudian.

Apa yang pasti, laungan Wakanda Forever daripada filem popular itu digunakan di seluruh dunia yang turut melonjakkan nama Boseman.

"Sehubungan itu, keluarga menyifatkan Boseman adalah pejuang sejati. Apatah lagi, dia berjaya bertahan melalui semua kesakitan dengan tenang.

"Dia mampu berlakon banyak filem yang disukai ramai. Dari Marshall, Da 5 Bloods dan Ma Rainey's Black Bottom serta beberapa lagi, semuanya karya yang menarik.

"Di kala kesibukannya menjalani penggambaran filem dibintangi itu, Bosemen juga sempat mendapatkan rawatan kimoterapi dan beberapa siri pembedahan," katanya.

Menurut kenyataan keluarga juga, satu penghormatan besar dalam karier lakonan Boseman apabila dia diberi peluang menghidupkan watak Raja T'Challa dalam Black Panther.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:15 AM