NORZIZI dipilih sebagai penerima Anugerah Seni & Kreatif UiTM.
NORZIZI dipilih sebagai penerima Anugerah Seni & Kreatif UiTM.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: "Hari terakhir barulah saya berjaya hantar borang penyertaan. Masa penghantaran tutup jam 5 petang dan saya hantar sekitar jam 12 tengah hari ke Canselori UiTM.

"Ketika menghantarnya, saya seolah-olah berlari ke garisan penamat dalam keadaan cedera, luka parah dan baju koyak-rabak, tapi saya gagahkan diri juga untuk teruskan larian," kata pelakon dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli, 43, yang dipilih sebagai penerima Anugerah Seni & Kreatif pada majlis Anugerah Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2019, Khamis lalu.

Norzizi, anak sulung kepada pelakon veteran, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain berkata, sekiranya tidak menang pun, dia berasakan dirinya sudah menang dari sudut moral.

"Sebabnya dengan bersusah payah saya hantar penyertaan ini. Namun, keyakinan tetap ada untuk menang kerana banyak pengorbanan yang saya buat di sebalik kejayaan ini.

"Saya jaga bapa sepanjang dia sakit dan mungkin Allah permudahkan dan berikan imbuhan menerusi kemenangan ini.

"Sebenarnya saya berdepan pelbagai dugaan ketika nak hantar penyertaan dan paling menguji ialah bapa sakit dan saya terpaksa menjaganya di hospital," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Norizizi berkata, ini adalah anugerah tahunan untuk kakitangan UiTM yang dibahagikan kepada pelbagai kategori.

"Saya hantar dalam Kategori Seni Persembahan. Pada mulanya tarikh tutup penyertaan pada 14 Mac lalu. Ketika nak hantar itulah pelbagai dugaan berlaku. Antaranya saya kena siapkan dalam satu fail segala dokumen berkaitan sebagai bukti sumbangan saya kepada universiti dan diri sendiri.

"Hari nak buat semuanya, anak pula masuk hospital kerana demam berterusan. Pada 7 Mac, saya memang tekad nak 'all out' siapkan semuanya," katanya.

Bagaimanapun, dia diuji lagi apabila menerima berita bapanya dimasukkan ke Hospital UiTM, Sungai Buloh akibat jangkitan kuman dalam darah.

"Saya tinggalkan segala dokumen yang perlu disiapkan dan bergegas ke hospital. Di hospital, saya jaga bapa pada sebelah malam hingga pagi sebelum keluar bekerja.

"Akhirnya saya rasa benda ini takkan berlaku. Namun, dua hari sebelum tarikh tutup, dalam satu mesyuarat, ketua saya kata mungkin saya boleh hantar penyertaan lagi dan saya kata akan cuba.

"Sehari sebelum tarikh tutup, saya buat segala yang diperlukan dari jam 11 pagi hingga 8.30 malam. Selepas itu saya minta seorang kawan buat salinan kerana saya nak ke hospital," katanya.

Ketua Pusat Pengajian Teater Fakulti Filem Teater dan Animasi UiTM ini berkata, kejayaannya ini adalah kerana doa Allahyarham bapa dan ibunya Datin Normala Omar.

"Malam selepas hantar penyertaan, saya berkongsi perkara ini dengan bapa di hospital dan minta dia doakan. Dia teruja dan setiap kali bertemunya di rumah selepas itu, dia akan tanya keputusan.

"Saya sendiri sudah lupa penyertaan itu kerana kita baru lepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ada banyak kali dia tanya dan katanya dia sudah doakan saya untuk menang.

"Dua hari sebelum bapa meninggal dunia pada 5 September lalu, saya ada menghubunginya memaklumkan menerima surat undangan ke majlis ini, namun dia seakan dengar atau tidak," katanya.

Norzizi sekali lagi memberitahu perkara ini kepada bapanya pada Sabtu petang sebelum pemergiannya, tetapi Zulkifli tidak memberi sebarang respon.

"Gugur air mata saya kerana bapa di atas kerusi roda hanya diam. Waktu ambil anugerah itu dari Timbalan Canselor dan dia ucap takziah, saya kena berlakon senyum.

"Begitu juga apabila Naib Canselor turut ucapkan takziah. Ini buat saya lagi sedih. Saya cuba tahan sebak dan apabila turun pentas barulah saya menangis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:28 PM