ADIK beradik Melvins kini jutawan.
ADIK beradik Melvins kini jutawan.
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Syifa Melvin menjawab khabar angin yang mendakwa dia bersama adik-beradiknya, Syatilla, Syida dan Syafiqa Melvin kini bergelar jutawan muda.

Syifa ketika ditemui berkata, dia bersyukur kejayaan produk kosmetik yang diusahakan sejak Mei tahun lalu itu berjaya mencapai status terbabit bersama adik-beradik lain.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah. Semua yang kami perolehi adalah hasil usaha sendiri dan rezeki pemberian Allah SWT.

"Kami juga beruntung kerana mempunyai pelanggan yang sentiasa memberikan sokongan. Apapun, kami berasakan masih banyak perkara yang perlu kami belajar dalam bidang perniagaan ini.

"Apa yang penting, kami gembira kerana apa yang diusahakan mendapat respons positif peminat yang menjadi pelanggan. Keutamaan kami dalam perniagaan ini adalah untuk berkongsi rezeki dengan yang lain," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk kosmetik, Kekasih by The Melvins di Shah Alam Convention Centre, di sini, hari ini.

Pada majlis sama, The Melvins turut melancarkan 60 papan iklan di seluruh negara bagi produk kecantikan itu.

Menurut Syifa, dia bersyukur dikurniakan adik-beradik yang sangat positif dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan perniagaan sehingga meraih keuntungan berlipat ganda.

"Tanpa sokongan adik-beradik lain mungkin Kekasih by The Melvins tidak akan sampai ke tahap ini. Saya harus memberikan kredit kepada ketiga-tiga cinta hati saya yang sentiasa berusaha dan mempunyai semangat untuk berjaya.

"Mungkin salah satu rahsia kejayaan kami adalah menjaga hubungan baik antara adik-beradik. Kami tak gaduh, tak masam muka, tak cemburu apatah lagi berkira fasal duit.

"Ibu dan ayah selalu pesan apapun yang terjadi adik-beradik tak boleh berpecah. Masing-masing kena ambil tanggunjgawab untuk membantu dan saling menyayangi. Alhamdulillah, tak sangka rezeki Allah nak bagi dalam sekelip mata," katanya.

Kekasih by The Melvins menawarkan beberapa pilihan produk kecantikan seperti krim bedak asas, matte bibir, eyeshadow dan blusher.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 5:34 PM