Najiy Jefri

Hasrat penyanyi Wany Hasrita untuk memiliki kediaman sendiri akhirnya tercapai apabila dia menerima kunci rumah pertamanya baru-baru ini.

Wany atau nama sebenar Nurshazwany Hasrita Hasbullah meluahkan rasa syukur apabila impian terbabit dimakbulkan Allah SWT.

"Alhamdulillah, untuk segalanya. Betullah, kata-kata itu satu doa. Setiap hari sebut nak beli rumah, pergi haji dan umrah. Doa dipermudahkan untuk beli rumah.

"Ini azam saya tahun 2019, setahun tertangguh, tapi Allah tahu bila waktu yang terbaik untuk dia beri pada hamba-Nya.

"Ibu, ini rumah kita. Terima kasih pada semua yang mendoakan," tulisnya menerusi satu entri di Instagram.

Menerusi perkongsian video itu, Wany bersama ibunya mengunjungi kediaman dua tingkat yang dipercayai terletak di Semenyih, Selangor.

Dalam video yang dimuat naik di laman YouTube miliknya, Wany berkongsi kepada peminat ruangan dalam rumah terbabit.

Wany turut memberitahu dia akan melakukan beberapa pengubahsuaian sebelum berpindah masuk.

"Rumah ini tak besar tapi cukup untuk saya dan ibu.

"Saya bakal membuat beberapa pengubahsuaian di beberapa bahagian rumah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 4:25 PM