DJ Lin
DJ Lin
Ridzuan Abdul Rahman

Stesen radio Suria FM sentiasa komited dalam memberikan selektif program yang segar dan menarik kepada pendengar mereka.

Terbaru, mereka kini kembali dengan program Suria Duo X yang menemui pendengar menerusi platform digital bermula 11 September lalu.

Pengurus Kanan Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali DJ Lin berkata, program digital itu adalah salah satu initiatif Suria dalam mempengaruhi pendengar lama dan baru untuk kekal mendengarkan Suria sebagai salah satu radio pilihan hati mereka.

"Suria sinonim dengan penganjuran Jelajah Suria sebagai tanda terima kasih atas sokongan pendengar.

"Namun, disebabkan penularan wabak Covid-19, program Suria Duo X ini adalah pendekatan terbaik bagi menghiburkan pendengar dan peminat Suria.

"Walaupun tidak dapat bertemu dua mata dengan penyampai Suria tahun ini, kami mengharapkan pendengar terus memberikan sokongan kepada Suria dengan mendengarkan Suria dan menonton program-program digital terbitan Suria di media sosial Suria Malaysia, Youtube Suria TV dan laman web Suria.my," katanya.

Bercerita lanjut, menurutnya Suria Duo X adalah sebuah program digital yang menggabungkan penyanyi lama dan penyanyi baharu di atas satu pentas.

"Artis terbabit seperti Aina Abdul, Siti Sarah, Ezad Lazim, Ara Johari, Azlan & The Typewriter dan Syamel akan menyanyikan lagu popular pasangan masing-masing dan lagu duet yang diubah gubahan muziknya.

"Aksi persembahan mereka boleh ditonton secara langsung di Facebook Suria FM dan Youtube Suria TV.

"Bagi peminat pula, mereka boleh menyaksikan persembahan artis kegemaran mereka setiap minggu dan juga boleh merebut peluang memenangi sebahagian wang tunai berjumlah RM10,000 serta peluang menyanyi bersama kumpulan pilihan mereka di pentas Finale Suria Duo X pada 9 Oktober ini," katanya.

Peluang juga terbuka kepada orang ramai yang ingin menyertai kumpulan Suria Duo X ini di mana mereka boleh 'cover' dan rekod salah satu lagu Suria Duo X yang tersenarai di laman web suria.my.

Seterusnya mereka perlu memuat naik video  ini di akaun Instagram serta meletakkan tag @suriamalaysia dan #suriamalaysia #SuriaDuoX dan #namakumpulanpilihan di ruangan caption.

Nama kumpulan akan dipaparkan ketika persembahan mingguan. Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web Suria www.suria.my atau mengikuti media sosial Suria Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 6:05 PM