NOAH kini tinggal bertiga (dari kiri), Lukman, Ariel dan David.
NOAH kini tinggal bertiga (dari kiri), Lukman, Ariel dan David.
Susunan Riadz Radzi

WALAUPUN pernah dihimpit kebosanan, kumpulan popular Indonesia, Noah tetap memberi jaminan mereka tidak akan berhenti berkarya.

Penyanyinya, Ariel dalam satu temu bual berkata, masih terlalu jauh untuk mereka 'berhenti' dan Noah terus 'lapar' untuk mengejar ilmu terutama dalam bidang muzik.

"Kami terus memikirkan masa depan Noah. Masih banyak yang kami cari dan kami masih 'lapar'kan ilmu. Kami akan terus hasilkan lagu serta mempelajari teknik baharu dalam bidang muzik. Itu ubat untuk kami atasi kebosanan dalam berkarya," katanya.

Kumpulan yang turut dianggotai Lukman (gitar) dan David (keyboard) itu baharu menyambut ulang tahun kelapan pada 16 September lalu.

Kumpulan yang bermula dengan nama Peterpan sebelum bertukar nama kepada Noah pada 2012 itu sudah menghasilkan dua album iaitu Seperti Seharusnya (2012) dan Keterkaitan Keterikatan tahun lalu.

Mereka juga menghasilkan album kompilasi berjudul Second Chance pada 2014 dan Sing Legends (2016) di mana mereka merakam semula lagu daripada penyanyi legenda Indonesia.

UKI (dua dari kiri) ketika masih bersama Noah.
UKI (dua dari kiri) ketika masih bersama Noah.

Ariel berkata, masih banyak yang ingin mereka teroka dalam bidang muzik dan mereka banyak mengambil pengaruh daripada artis luar negara.

Bukan saja dari aspek muzik, tetapi juga dalam konteks persembahan.

"Kami banyak belajar mengenai teknik dalam muzik. Begitu juga dengan aksi persembahan artis luar negara. Itu yang kami perlu kejar ke sana. Kenapa orang sanggup bayar tiket mahal untuk menonton konsert mereka? Itu ertinya persembahan dan konsert mereka sangat menarik. Buat masa ini, kami belum sampai ke tahap itu," katanya.

Untuk terus bertahan dan tetap relevan, Noah cuba beradaptasi dengan banyak perkara khususnya teknologi muzik yang berkembang pesat.

Mereka turut mendengar muzik popular yang sedang 'trending'. Dengan cara ini, mereka tidak akan ketinggalan.

"Dalam tempoh lapan tahun ini, kami banyak mencuba beberapa perkara. Contohnnya dari segi 'sound' yang kami hasilkan. Kami masih belajar banyak perkara berkaitan muzik. 'Tone' tetap yang kami suka, tapi ia tetap 'up to date'," kata pemain keyboard, David.

Dalam pada itu, Noah kini tinggal bertiga selepas pemain dram, Reza meninggalkan kumpulan itu pada 2014 dan pemain gitar, Uki tahun lalu.

Kedua-duanya meninggalkan Noah kerana mahu mendalami ilmu agama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:30 AM