SITI Saleha bersama suami. FOTO IG sallywho
SITI Saleha bersama suami. FOTO IG sallywho
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Siti Saleha mengakui, krisis pandemik Covid-19 yang berlaku sedikit sebanyak mencabar mentalnya memandangkan ramai anggota keluarganya menetap di luar negara.

Saleha ketika ditemui di majlis penghargaan 7 Hari Mencintaiku 2 berkata, dia dan keluarga bagaimanapun faham dengan situasi semasa yang melanda seluruh dunia.

"Bila pandemik seperti ini berlaku, ramai yang terkesan paling mencabar adalah mental saya kerana ramai anggota keluarga saya berada di luar negara.

"Dengan ibu saya pun, rasanya dah dua tahun tak berjumpa. Tambah-tambah, bila pandemik seperti ini berlaku, lagilah mencabar.

"Mujurlah ada teknologi dan kami dapat berbual menerusi panggilan telefon dan sebagainya untuk mengubat kerinduan," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai keluarga dan perkahwinan, Saleha berkata, kehidupannya dan suami, Ahmad Lutfi Azhar dalam keadaan baik.

"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikan kami waktu untuk luangkan masa bersama memandangkan sebelum ini, masing-masing sibuk dengan urusan kerja.

"Tempoh itu juga saya gunakan untuk kembangkan hobi saya menjadi bakat contohnya memasak dan melukis," katanya.

Ditanya mengenai karier dan tanggungjawab sebagai isteri, Saleha sendiri tahu batasannya.

"Saya sendiri tahu batasan saya sebagai isteri walaupun suami tak beritahu atau larang. 

"Kalau ada watak-watak yang terlalu romantik dan sebagainya, saya tahu batasnya dan saya pun dah tak suka balik kerja lewat malam," katanya.

Untuk rekod, pasangan Saleha dan Lutfi berkahwin pada 28 Julai 2017.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:41 PM