AHMAD Muzammil (kiri) dan Erma Fatima.
AHMAD Muzammil (kiri) dan Erma Fatima.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pengarah, penerbit dan pelakon, Erma Fatima setakat ini berpuas hati dengan mutu kerja diberikan pemuda dikenali Ahmad Muzammil Mohd Haflan, 33, yang kini lebih sebulan berkhidmat di syarikatnya.

Terdahulu, pada Jun lalu, Erma ada memuat naik di Instagram mengenai kisah pilu dilalui Ahmad Muzammil yang cedera akibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan untuk menghadiri temuduga kerja dengannya.

Erma ditemui baru- baru ini berkata dia sudah pun mengotakan janji kepada pemuda itu untuk menawarkan kerja bersesuaian di syarikatnya mengikut kelayakan dimiliki.

"Alhamdulillah, dah lebih sebulan pun dia (Ahmad Muzammil) bekerja dengan saya. Syukur, niatnya memang murni dan dia betul-betul perlukan kerja dimohon.

"Saya gembira dan puas hati dengan hasil kerjanya di bahagian video. Cuma, saya takkan lupa keadaan dia ketika datang untuk menghadiri sesi temuduga berkenaan.

"Saya amat terkejut sewaktu melihat dia datang dengan keadaan berlumuran darah, begitu juga resume diberikan kepada saya. Puas saya pujuk dia, suruh ke klinik dapatkan rawatan dahulu.

"Katanya, dia perlukan sangat kerja dan akan ke klinik selepas selesai sesi temuduga. Alhamdulillah, dia memang saya lihat bekerja dengan bersungguh-sungguh," ujarnya.

AHMAD Muzammil cedera akibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan untuk menghadiri temuduga kerja.
AHMAD Muzammil cedera akibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan untuk menghadiri temuduga kerja.

Berbicara karier pengarahannya, Erma berkata dia teruja dapat menyertai projek filem Juang terbitan tiga produksi iaitu Suhan Movies & Trading, Tropical Films dan The Film Engine.

Katanya, filem Juang diyakini sangat menarik hasilnya nanti kerana jalan cerita yang sangat dekat dengan rakyat Malaysia ketika berhadapan penularan wabak Covid-19.

Ditambah, katanya filem itu juga memaparkan kisah perjuangan barisan hadapan seperti pertugas kesihatan, polis, tentera, penghantar makanan dan kakitangan syarikat penerbangan sepanjang penularan pandemik ini.

Bakal menelan belanja pembikinan RM6 juta, filem Juang menampilkan kerjasama tiga pelakon utama dipilih iaitu Zul Ariffin, Zizan Razak dan Jack Lim.

Manakala selain Erma, tanggungjawab pengarahan akan digalas sutradara berkaliber lain seperti Aziz M Osman, Matt Lai, Kabir Bhatia, Osman Ali dan Yusry Abdul Halim dengan membabitkan 100 pelakon dan 200 tenaga kerja produksi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 10:51 AM