Georgie Joseph

Annyeonghaseyo! Pembongkaran rekod kisah lampau artis di Korea Selatan tidak dinafikan antara hal paling ditakuti. Mana tidaknya, reputasi mereka mampu terjejas selain hal itu mungkin menjatuhkan karier.

Terbaharu, penyanyi Park Kyung pula menjadi mangsa pendedahan rekod lampaunya terbabit sebagai kaki buli sewaktu di sekolah menengah. Pendedahan itu dilakukan individu yang pernah bersekolah sama dengannya.

Dalam tuduhan itu, Park Kyung didakwa memeras wang daripada pelajar yang lemah di belakang pagar sekolah. Tidak ketinggalan, dia turut merokok, mengambil alkohol dan kerap mengeluarkan kata-kata kesat.

Lebih mengejutkan, individu itu turut mendedahkan penyanyi terbabit sudah pernah melakukan hubungan intim sewaktu masih bergelar pelajar. Kesimpulannya, dia sangat ditakuti akibat suka memukul rakan sekelas terutama yang berbadan kecil.

Tidak berdiam diri mengenai tuduhan itu, Park Kyung tampil memohon maaf secara terbuka mengenainya. Dalam kenyataan itu, dia mengakui kekhilafannya sewaktu masih di sekolah dan kesal dia melukai pihak tertentu.

"Sewaktu di sekolah rendah, saya adalah seorang yang kuat belajar. Namun, entah kenapa, saya diejek dan dipandang rendah oleh murid sebaya hanya disebabkan perkara itu.

"Apabila memasuki sekolah menengah, saya benci apabila dipandang sebagai pelajar contoh selain sukakan perhatian. Saya mahu sesuaikan diri dengan rakan yang suka bermain sehingga melakukan perkara memalukan.

"Saya sangat kesal dengan sifat tidak matang sewaktu zaman remaja saya itu. Saya faham dalam pada menjalani kehidupan sibuk, mereka yang pernah saya lukai masih tidak dapat melupakan kenangan itu serta kesakitan dirasai mereka," katanya.

Park Kyung juga menyatakan hasratnya untuk bertemu dengan sesiapa yang masih terluka dengan perbuatan lampaunya. Dia mengakui niat itu terbit ikhlas daripada hatinya disebabkan sangat menyesali perkara itu.

"Saya menyeru kepada mereka yang saya lukai untuk menghubungi terus saya atau menerusi agensi. Saya ingin bertemu kamu secara peribadi untuk memohon maaf dan meminta keampunan.

"Saya risau selepas kamu membaca isu itu, kamu mungkin fikir saya cuma berpura-pura. Bagaimanapun, ia lebih memalukan jika saya meminta agensi yang keluarkan kenyataan. Justeru, saya menulisnya secara peribadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 6:00 AM