EBBY Yus.
EBBY Yus.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak, Ebby Yus mendedahkan dia pernah menerima bantuan wang tunai bernilai RM30,491.93 daripada peminat wanita dari Singapura ketika menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Bagaimanapun, dia pada awalnya tidak sedia menerima bantuan kewangan berkenaan dengan bertindak menghubungi wanita itu bagi tujuan ingin menolak secara baik.

"Pada awalnya, dia menghubungi pembantu saya dan menyuarakan hasrat untuk memberi sumbangan itu kerana tahu mengenai keadaan kesihatan yang saya alami.

"Ketika itu, kita semua tak dapat bekerja kerana PKP. Jadi, apabila dimaklumkan oleh pembantu, saya sendiri menghubunginya dan menjelaskan bahawa keadaan kesihatan saya sudah kembali pulih. 

"Saya katakan pada dia, mohon sumbangkan doa pun sudah mencukupi. Namun, dia mendesak untuk tetap memberikan sumbangan kerana seluruh keluarganya meminati saya," katanya kepada Harian Metro.

Ebby berkata, dia juga curiga dengan tindakan wanita itu memandangkan banyak kes 'scam' berlaku ketika PKP lalu.

"Saya rasa sangsi juga kerana takut jika itu adalah 'scammer' kerana dia meminta nombor akaun bank. Tapi, bila difikirkan semula, dalam akaun saya pun cuma ada dalam RM40 saja, jadi tak rugi pun kalau saya bagi.

"Tak lama selepas itu, sejumlah wang bernilai SGD10,000 (RM30,491.93) masuk ke dalam akaun saya. Saya macam susah nak percaya, tapi bila diperiksa berkali-kali, memang benar," katanya.

Tambah Abby, individu itu umpama kiriman daripada Allah untuk membantunya.

"Allah menghantar individu ini, yang bagi saya sangat berhati mulia dan ikhlas. Kalau bukan kerana situasi pandemik sekarang, saya dah ke Singapura untuk bertemu dengannya sekeluarga.

"Jadi, sejak dari itu hinggalah ke hari ini, kami sering berkomunikasi menerusi telefon," katanya.

Terdahulu, Ebby ditemui pada majlis pelancaran Beras Ashraffi yang juga menjadi satu lagi projek usaha sama antara dirinya sebagai penyelaras dengan pemilik Pondok Motivasi Hamlatul Qur'an, Ustaz Dr Mohd Ashraf Suarin.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 2:56 PM